
Puncak Alam, 7 September 2025 – Nursing Student Association (NUSA) Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam bagi sesi 2024/2025 telah menjayakan program kolaborasi antarabangsa bertajuk “Short Course and Mobility Outbound of Nursing” bersama Universitas ‘Aisyiyah (UNISA) Yogyakarta, Indonesia. Program ini melibatkan penyertaan seramai 7 pelajar kejururawatan dan 2 pensyarah pengiring dari Pusat Pengajian Kejururawatan UiTM Puncak Alam.
Berlangsung dari 7 hingga 12 September 2025, program ini bertujuan memperkukuh hubungan akademik dan budaya antara kedua-dua institusi melalui pengisian ilmiah, lawatan lapangan, dan aktiviti khidmat masyarakat. Pada 8 September, peserta diperkenalkan dengan profil akademik Kejururawatan UNISA dan UiTM, disusuli lawatan ke kampus dan makmal UNISA. Mereka turut mengikuti kuliah bertajuk “Evidence-Based Practice in Critical Care Nursing” oleh Puan Dwi Prihatiningsih dan sesi pengkajian kesihatan remaja oleh Dr. Yuli Isnaeni.
Perbincangan antara pensyarah UiTM dan UNISA turut diadakan bagi meneroka peluang dana geran rakan kongsi dan penerbitan akademik bersama. Sesi interaksi pelajar NUSA dan HIMIKA UNISA pula memberi pendedahan tentang struktur kepimpinan dan pencapaian persatuan masing-masing, di samping perkongsian pengalaman pelaksanaan program CSR oleh Puan Norlaila Binti Abu Samah.
Pada 9 September, dua ceramah disampaikan oleh Ts. Dr. Sharifah Shafinaz Binti Sh Abdullah dan Puan Norlaila bertajuk “Evidence-Based Practice in Nursing” dan “Emergency Nursing in The Community”. Lawatan ke Rumah Sakit PKU Muhammadiyah Gamping memberi peserta gambaran sistem kesihatan hospital di Indonesia.
Hari keempat menyaksikan aktiviti khidmat masyarakat di SMK Negeri 2 Godean, dimulakan dengan sesi zumba dan nyanyian lagu kebangsaan. Ceramah bertemakan pencegahan sosial dan kesihatan disampaikan oleh panel dari UiTM dan UNISA, disertai kuiz dan sesi soal jawab interaktif yang mendapat sambutan hangat.
Program diakhiri dengan Cultural Visit (Edutourism) ke lokasi ikonik Yogyakarta seperti Muzium Sonobudoyo dan Keraton Yogyakarta, yang memperkaya pemahaman peserta terhadap warisan budaya tempatan.
Secara keseluruhan, program ini berjaya memperkukuh ilmu, keterampilan dan nilai kemanusiaan dalam kalangan peserta, di samping mengeratkan hubungan persahabatan antarabangsa serta memperkukuh peranan UiTM sebagai institusi pendidikan tinggi bertaraf global.
