
DENGKIL, 20 September 2025 – Program komuniti bertemakan “Cintakan Tumbuhan dan Haiwan” anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Industry, Community & Alumni Network (ICAN) Pusat Asasi UiTM dengan kerjasama Kelab ICAN Sinergi, telah mencetuskan sambutan luar biasa sempena HEPI FEST 2025. Program yang berlangsung di Pusat Asasi UiTM Dengkil ini berjaya menghimpunkan seramai 53 orang kanak-kanak berumur antara 4 hingga 8 tahun dari komuniti setempat.
Bermula dari jam 10 pagi hingga 2 petang, program ini dirangka khusus untuk memupuk minat, pengetahuan dan rasa cinta terhadap alam sekitar dalam kalangan kanak-kanak. Ia turut menggabungkan elemen pendidikan, kreativiti, interaksi sosial dan hiburan, menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan dan bermakna.
Antara aktiviti menarik yang dijalankan termasuk sesi ice-breaking dengan lagu-lagu pergerakan seperti If You’re Happy dan Baby Shark, diikuti kuiz interaktif haiwan dan tumbuhan yang menguji pengetahuan asas peserta tentang flora dan fauna. Aktiviti diteruskan dengan Seni Kreatif Alam, di mana peserta mewarna dan menghias pasu, mengasah kreativiti serta kemahiran motor halus mereka.


Kemuncak program ialah aktiviti Tanam Bersama, yang memberi peluang kepada setiap peserta untuk menanam pokok dalam pasu. Aktiviti ini bukan sahaja memperkenalkan asas penjagaan tumbuhan, malah menyemai nilai tanggungjawab, kasih sayang terhadap alam dan kesedaran kelestarian sejak usia muda.
Program ini turut membuka ruang kepada staf dan pelajar Pusat Asasi UiTM Dengkil untuk berbakti kepada komuniti melalui pendekatan pendidikan tidak formal yang interaktif dan berimpak tinggi. Ia juga menyokong pembangunan sahsiah kanak-kanak melalui pemikiran kritikal, ekspresi diri dan semangat tanggungjawab sosial.
Sambutan menggalakkan daripada komuniti membuktikan keberkesanan program ini dalam menyampaikan mesej cinta alam sekitar dan nilai kemanusiaan. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan sebagai inisiatif tahunan, sekali gus menyumbang kepada pembentukan generasi muda yang lebih prihatin, kreatif dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti serta memperluas peranan institusi pendidikan sebagai agen perubahan sosial yang memberi impak positif kepada masyarakat.
