UiTM dan UNISA Jayakan Program CSR Antarabangsa: The Health Carnival 2.0 di Yogyakarta

YOGYAKARTA, 10 September 2025Nursing Student Association (NUSA), Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kejuruan (SMK) Negeri 2 Godean dan Universitas ‘Aisyiyah (UNISA) Yogyakarta, Indonesia telah berjaya menganjurkan program Corporate Social Responsibility (CSR) bersama Outbound Students (International Volunteerism) – The Health Carnival 2.0 2025 bertempat di SMK Negeri 2 Godean, Yogyakarta.

Program ini bertujuan memberikan pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif serta meningkatkan kesedaran berkaitan pemeriksaan kendiri payudara (SADARI) kepada lebih 75 pelajar SMK Negeri 2 Godean. Delegasi UiTM terdiri daripada 2 pensyarah dan 7 pelajar kejururawatan, manakala UNISA turut menyumbang tenaga pengajar dan wakil pelajar dalam menjayakan program ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ts. Dr. Sharifah Shafinaz Binti Sh Abdullah, Penasihat Program Outbound Students and International Volunteerism. Turut hadir ialah Plt. Bapak Drs. Susanta, M.Eng, Pengetua SMK Negeri 2 Godean; Dr. Sarwinanti, S.Kep., Ns., M.Kep., Sp.Kep.Mat, Ketua Pusat Pengajian UNISA; serta Puan Norlaila Binti Abu Samah, Pengarah Program Berimpak Tinggi The Health Carnival 2.0.

Program dimulakan dengan ucapan aluan dari wakil sekolah, UNISA dan UiTM, diikuti aktiviti zumba yang dikendalikan oleh pelajar UiTM. Sesi ceramah dimulakan dengan topik “Bagaimana Menangani Kehamilan Tidak Dirancang dalam Kalangan Remaja” oleh Ts. Dr. Sharifah Shafinaz, diikuti “Fahami Diri dan Jaga Maruah Diri” oleh Puan Norlaila. Wakil UNISA turut menyampaikan ceramah bertajuk “Kesihatan Reproduktif Remaja dalam Perspektif Islam” oleh Dr. Warsiti dan teknik SADARI oleh Dr. Sarwinanti.

Setiap sesi ceramah disusuli dengan kuiz interaktif yang berjaya menarik perhatian pelajar, dengan hadiah disediakan bagi jawapan yang tepat. Program berakhir pada jam 12.00 tengah hari dengan suasana penuh mesra dan penghargaan daripada warga SMK Negeri 2 Godean.

Secara keseluruhan, program ini telah mencapai objektifnya dalam memperkasa pendidikan kesihatan, memupuk nilai tanggungjawab sosial, serta mengukuhkan hubungan antarabangsa antara institusi pendidikan Malaysia dan Indonesia. Diharapkan penganjuran seperti ini dapat diteruskan sebagai platform berterusan dalam membentuk pelajar yang berilmu, beretika dan berjiwa global.