ASiDIFY 2025 Perkukuh Nilai Kemanusiaan dan Empati dalam Kalangan Warga UiTM

DENGKIL, 19 September 2025 – Program ASiDIFY: Inspirasi Asasi, Demi Kemanusiaan telah berjaya menghimpunkan lebih 2,000 peserta terdiri daripada staf, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta komuniti setempat di Dataran Pentadbiran, Pusat Asasi UiTM Dengkil. Program ini merupakan inisiatif bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Industry, Community & Alumni Network (ICAN) Pusat Asasi UiTM, dengan kerjasama MyFundAction dan LEGASI, sempena penganjuran HEPI FEST 2025.

ASiDIFY 2025 dirangka dengan objektif utama untuk meningkatkan kesedaran dan empati pelajar terhadap isu kemanusiaan global, di samping memberi ruang kepada mereka untuk menyuarakan pandangan tentang nilai kasih sayang, toleransi dan keprihatinan sosial. Program ini turut menggalakkan ekspresi melalui medium digital seperti forum kreatif, serta menekankan budaya refleksi diri dan kepedulian terhadap pengalaman insan lain. Inisiatif ini juga memperkukuh jenama UiTM sebagai institusi progresif dan inklusif.

Forum utama program menampilkan dua tokoh jemputan istimewa iaitu Siti Nabihah Binti Zakaria, Sustainability Specialist MyFundAction merangkap Presiden LEGASI, dan Ts. Dr. Abdelrahman Ibrahim Suleiman Islieh, pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang merupakan warga Palestin bermastautin di Malaysia. Kehadiran mereka telah memberikan perspektif mendalam dan menyentuh hati berkaitan isu kemanusiaan sejagat.

Sepanjang sesi forum, pelbagai isu penting telah dikupas termasuk krisis kemanusiaan di Gaza, cabaran penghantaran bantuan ke kawasan bergolak, serta kisah ketabahan rakyat Palestin khususnya wanita dan kanak-kanak. Perkongsian ini membuka mata peserta terhadap realiti penderitaan yang berlaku, sekali gus menyemai rasa tanggungjawab sosial untuk berganding bahu membantu mereka yang memerlukan.

Sambutan luar biasa daripada peserta menunjukkan keberkesanan program ini dalam menyemai nilai empati dan menggerakkan komuniti ke arah tindakan yang lebih cakna dan berperikemanusiaan. Diharapkan agar ASiDIFY dapat dijadikan program tahunan yang konsisten, dalam usaha melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga tinggi nilai kemanusiaannya.

UiTM komited untuk terus membentuk generasi muda yang berjiwa besar, peduli dan progresif, selaras dengan aspirasi universiti dalam memperkasa pembangunan insan dan kesejahteraan sejagat.

Editor: Muhammad Syahid Aiman Muhammad Bazlan