Z-Mode: Asasi On Beat Meriahkan HEPI FEST 2025 dengan Semangat Kecergasan dan Kebersamaan

DENGKIL, 19 September 2025 – Suasana Dataran Pentadbiran, Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dengkil pada petang Jumaat lalu diserikan dengan kehadiran hampir 2,500 peserta terdiri daripada staf, pelajar dan komuniti setempat yang bersama-sama menjayakan program kecergasan bertemakan Z-Mode: Asasi On Beat ft. Anytime Fitness, sempena penganjuran HEPI FEST 2025.

Program ini merupakan inisiatif Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Industry, Community & Alumni Network (ICAN) Pusat Asasi UiTM dengan kerjasama Anytime Fitness NeoCyber, yang bertujuan untuk memperkukuh kesedaran tentang kepentingan gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal yang menyeronokkan dan interaktif.

Z-Mode: Asasi On Beat dirangka sebagai platform untuk menggalakkan semangat kebersamaan dan kekitaan dalam kalangan warga UiTM dan masyarakat setempat. Program ini turut memberi penekanan kepada keseimbangan gaya hidup pelajar, agar mereka bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga sihat dari segi fizikal dan mental.

Sepanjang program, peserta berpeluang mengikuti rutin senaman bertenaga yang dikendalikan oleh jurulatih kecergasan profesional dari Anytime Fitness. Aktiviti turut diselitkan dengan elemen hiburan sihat yang menceriakan suasana, sekali gus menjadikan program ini sebagai pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna. Penekanan terhadap kesedaran kecergasan sebagai amalan harian jelas diterjemahkan melalui penglibatan aktif peserta dari pelbagai lapisan.

Sambutan luar biasa yang diterima membuktikan minat tinggi terhadap program berteraskan kesihatan dan gaya hidup aktif. Program ini berjaya mencapai objektifnya dalam memupuk budaya sihat, memperkukuh hubungan antara UiTM dan komuniti, serta menyemarakkan semangat positif dalam kalangan peserta.

UiTM berharap agar program seperti ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang konsisten, sekali gus menjadi platform penting dalam memperkasa kesejahteraan warga universiti dan masyarakat secara menyeluruh.

Editor: Sri Fitriaty Binti Mohd Kenali