
SHAH ALAM, 20 September 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) terus memperkukuh kedudukannya di peringkat antarabangsa apabila berjaya memeterai lima Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan industri dan akademia sempena NAPESS 1st Overseas International Conference 2025 yang berlangsung di UiTM Shah Alam.
Majlis pemeteraian tersebut telah disaksikan oleh Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Kerajaan (INC), Profesor Dr. Muhammad Hussain Ismail; Dekan FSR, Prof. Madya Dr. Raja Mohamed Firhad Raja Azidin; serta Penaung Utama NAPESS, Profesor Chinnappa Reddy.
Antara organisasi yang menandatangani MoU bersama UiTM termasuklah National Association of Physical Education and Sports Science (NAPESS) yang diwakili oleh Presidennya, Profesor Dr. P. Ravikumar; syarikat nutrisi global Herbalife melalui Encik Steven Chin selaku Pengarah Kanan dan Pengurus Besar; serta Yakult yang diwakili oleh Encik Hiroki Yanase, Pengarah Urusan. Turut hadir ialah Encik Harry Zhang Hai Wei, Ketua Pegawai Eksekutif Chingmu, dan Ts. Muhamad Yazid Yahaya, Pengarah Urusan MY EduSoccer.


Kolaborasi ini memberi tumpuan kepada bidang sains sukan, kesihatan, kesejahteraan, pemakanan dan inovasi digital, dengan matlamat memperkukuh jaringan penyelidikan, pembangunan teknologi dan perkongsian kepakaran. Ia turut membuka peluang kepada pelajar UiTM untuk menjalani latihan industri, menyertai projek penyelidikan bersama, serta meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui pendedahan kepada amalan terbaik industri.
Menurut Prof. Madya Dr. Raja Mohamed Firhad, pemeteraian MoU ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam memastikan kurikulum dan program akademik yang ditawarkan sentiasa relevan dan seiring dengan perkembangan global. “Kerjasama ini akan memberi nilai tambah bukan sahaja kepada universiti, malah kepada industri dan masyarakat melalui pemindahan ilmu serta pembangunan inovasi,” katanya.
Langkah strategik ini turut menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya dalam aspek pendidikan berkualiti (SDG 4), pekerjaan yang layak dan pertumbuhan ekonomi (SDG 8), serta inovasi, industri dan infrastruktur (SDG 9). UiTM kekal komited sebagai peneraju kecemerlangan akademik, penyelidikan dan pembangunan sukan yang memberi impak positif kepada negara dan masyarakat global.
Penulis: Mohd Azim Nural Azhan
Editor: Muhammad Faizal Kutip
