UiTM Perak Anjur Webinar Aplikasi Radiasi dalam Perubatan Nuklear

Tapah, 9 Jun 2025 – Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah, menganjurkan webinar “Physics Outreach 5.0: Applications on Radiation in Medicine and Nuclear Technology (Session 1)” secara dalam talian pada 2 Mei 2025. Program ini bertujuan memberi pendedahan mendalam mengenai bidang perubatan nuklear dan aplikasinya kepada pelajar Diploma Sains Semester 4 yang mengambil kursus PHY310 (Fizik Moden).

Webinar tersebut menampilkan penceramah jemputan, Dr. Sc. Hum. Deni Hardiansyah dari Jabatan Fizik, Faculty of Mathematics and Natural Science, University of Indonesia. Beliau berkongsi maklumat mengenai perubatan nuklear yang melibatkan bahan radioaktif untuk tujuan diagnosis dan rawatan. Dr. Deni turut memperkenalkan teknologi pengimejan terkini seperti SPECT dan PET yang digunakan untuk mengesan kanser pada peringkat awal, selain membandingkan peralatan pengimejan tradisional dan moden.

Dalam sesi interaktif, Dr. Deni menerangkan keupayaan perubatan nuklear dalam memberikan rawatan yang lebih tepat dan berkesan, sekaligus meningkatkan kualiti hidup pesakit. Beliau turut menyentuh tentang penghasilan radionuklid yang mampu memberi kesan terapeutik tanpa merosakkan tisu sihat, namun menegaskan ia perlu dikawal selia oleh pakar perubatan.

Program ini berjaya menarik minat dan memotivasikan pelajar dalam mendalami Fizik Moden. Ia juga membuka minda pelajar tentang aplikasi pembelajaran di dalam kelas yang boleh diguna pakai dan dipraktikkan di luar, di samping mendedahkan prospek kerjaya yang luas dalam bidang Fizik. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan bagi memberi manfaat kepada pelajar di masa hadapan.