
Jengka, Pahang, 08 Mei 2025 – Inisiatif berterusan oleh Fakulti Perakaunan, Program FOA Marketplace 4.0 telah berlangsung dengan jayanya di Bangunan Leucaena, UiTM Cawangan Pahang. Program tahunan ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2022.
Majlis perasmian FOA Marketplace 4.0 telah disempurnakan oleh Yang Brs. Prof. Madya Dr. Hajah Nazirah binti Ramli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik (HEA), UiTM Cawangan Pahang. Program ini telah menghimpunkan sebanyak 27 gerai yang diwakili oleh pelajar, wakil persatuan pelajar, serta staf UiTM. Sepanjang program ini berlangsung, pelbagai produk menarik diketengahkan, termasuk aneka juadah makanan dan minuman, buah-buahan segar, bunga-bungaan, serta pakaian yang menampilkan kreativiti para usahawan muda.


FOA Marketplace berfungsi sebagai platform latihan keusahawanan yang praktikal, yang mana para peserta diberi peluang untuk menjalankan perniagaan sebenar. Ia bukan sahaja membuka ruang kepada mereka untuk mengaplikasikan teori dan ilmu perniagaan yang dipelajari, malah membantu meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran komunikasi dan pengurusan operasi. Program ini juga menjadi medium bagi memupuk semangat kerjasama, kreativiti, dan inovasi dalam kalangan warga kampus, selari dengan hasrat universiti dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki nilai tambah dalam keusahawanan dan daya saing di pasaran kerja.
Penganjuran program ini juga sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang berjaya dan berdaya saing. Ia turut mendukung matlamat Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), iaitu kepentingan pembinaan modal insan berkualiti tinggi serta berdaya cipta, berfikiran keusahawanan, dan memiliki nilai serta etika perniagaan yang kukuh. Program ini menjadi satu mekanisme penting dalam menyemai budaya keusahawanan dalam ekosistem pendidikan tinggi, sekali gus menyumbang ke arah merealisasikan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030).
Sambutan luar biasa yang diterima daripada seluruh warga kampus membuktikan bahawa program ini bukan sahaja relevan, malah amat diperlukan dalam merancakkan pembangunan ekonomi dan keusahawanan di peringkat institusi. Inisiatif ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari ke-8 (SDG8), yang menumpukan kepada pertumbuhan ekonomi inklusif dan peluang pekerjaan yang berkualiti, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
