UiTM Kampus Alor Gajah Lahirkan Pendebat Berkualiti

MELAKA, 9 Jun 2025 – Pertandingan Debat Piala Rektor, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Melaka telah dijalankan baru-baru ini bertempat di UiTM Kampus Bandaraya Melaka pada 17 Mei 2025.

UiTM Kampus Alor Gajah telah diwakili oleh lima orang ahli debat iaitu saudari Hazirah Binti Perlis@Jolis, Siti Hajar Bt Ahmad Nazli, Nur Syazwana Binti Mohamad Ali, Nureen Aimanina Binti Mahat (Simpanan) serta saudara Shaqir Hazri Bin Samsulmasri (Simpanan).

Salah seorang wakil UiTM Kampus Alor Gajah, saudari Hazirah Binti Perlis@Jolis yang juga merupakan Mahasiswi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) muncul sebagai Pendebat Terbaik dalam pertandingan ini serta kesemua pusingan.

Dalam persaingan melibatkan wakil dari UiTM Kampus Alor Gajah, UiTM Kampus Jasin, UiTM Kampus Bandaraya Melaka, Melaka International College of Science and Technology (MiCoST), UiTM Negeri Sembilan serta UiTM Johor, kesemua pasukan yang bertanding mempamerkan kesungguhan dalam membentangkan hujah dan fakta ilmiah secara kreatif dan bermakna.

Saudari Hazirah membawa pulang sijil dan wang tunai berjumlah RM75 selaku Pendebat Terbaik manakala pasukan yang diwakilinya membawa pulang Piala Pusingan, sijil serta wang tunai berjumlah RM200.

Pihak pengurusan serta seluruh warga FKPM UiTM Cawangan Melaka amat berbangga akan pencapaian saudari Hazirah dan pasukan dalam pertandingan ini.

Kejayaan ini diharapkan dapat menjadi satu motivasi dan contoh kepada anak-anak pelajar yang lain dalam meraih lebih banyak pencapaian dan kejayaan berimpak tinggi pada masa akan datang.