UiTM Perak & PASAK Perkasakan OKU Pembelajaran Melalui Bengkel Solar PV

Tapah, 26 Mei 2025 – Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah dengan kerjasama Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) serta sokongan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah menganjurkan Bengkel Pemasangan Solar PV khusus bagi memperkasakan golongan Orang Kurang Upaya kategori pembelajaran (OKU). Bengkel yang berlangsung dari 19 Mac hingga 17 April 2025 ini telah diadakan di bebrapa tempat iaitu Perpustakaan Desa Tapah Road, di kedua Pusat Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Tapah dan Bidor, serta HRD Corp Tapah melibatkan seramai 10 peserta OKU dari kawasan sekitar Tapah dan Bidor yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun.

Majlis penutup diadakan pada 24 April 2025 telah berlangsung secara sederhana namun meriah dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu EXCO Kerajaan Negeri Perak, YB Sivanesan, wakil dari PASAK dan Penolong Rektor UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah, Dr Zoolhelmi Alias dan para peserta bengkel solar. Sepanjang tempoh bengkel ini, peserta didedahkan dengan 13 modul latihan komprehensif yang meliputi aspek teori dan praktikal pemasangan serta penyelenggaraan sistem solar PV. Seramai 12 pensyarah dan staf UiTM Tapah khusus dari Fakulti Sains Gunaan (FSG) telah bertindak sebagai fasilitator dan jurulatih dalam membantu peserta menguasai setiap modul latihan secara lebih efektif.

Selain itu, bengkel turut mendapat khidmat nasihat serta pemantauan teknikal secara langsung daripada pakar industri, Ir. Ts. Dr. Ahmad Zaidi, yang memastikan setiap aspek latihan memenuhi standard industri semasa. Di samping modul teknikal, bengkel ini turut menawarkan sesi motivasi serta perkongsian pengalaman bersama  bertujuan meningkatkan keyakinan diri dan semangat peserta dalam menimba ilmu serta kemahiran baharu dalam melestarikan tenaga hijau sebagai sumber pekerjaan kelak. Impak utama program ini adalah untuk meningkatkan kebolehpasaran peserta OKU dalam sektor tenaga hijau, selain secara langsung menyemai kesedaran tentang kepentingan tenaga hijau dalam kalangan komuniti setempat. Berikutan kejayaan bengkel ini, UiTM Cawangan Perak khususnya dari FSG dan PASAK merancang meneruskan usaha seumpama ini pada masa akan datang, selaras dengan komitmen mereka terhadap pembangunan komuniti yang lebih inklusif dan lestari.

Penulis : Nurhazirah Azmi
Editor : Dr Siti Sumaiyah Shekh Abdul Aziz