Sinar Kasih 2.0: UiTM Pulau Pinang Menyemai Kasih Bersama Anak-Anak Yatim dan Istimewa

Kuala Ketil, 20 Mei 2025 – Jabatan Sains Gunaan dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), UiTM Cawangan Pulau Pinang serta Pertubuhan Sinar Kasih Darul Aitam, Kuala Ketil, Kedah telah berjaya menganjurkan Program Khidmat Masyarakat Sinar Kasih 2.0 pada 17 Mei 2025. Program ini turut mendapat sokongan daripada Syarikat Faiza Sdn Bhd selaku rakan strategik yang turut menyumbang barangan asas.

Sinar Kasih 2.0 merupakan kesinambungan daripada program Sinar Kasih 1.0, dengan matlamat untuk menyantuni anak-anak yatim melalui pendekatan berteraskan ilmu, kasih sayang dan nilai kemanusiaan. Program ini diserikan dengan kehadiran staf akademik dan bukan akademik dari Jabatan Sains Gunaan (JSG), Jabatan Sains Komputer dan Matematik (JSKM), Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) serta Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE).

Peserta terdiri daripada anak-anak asnaf dan yatim piatu serta beberapa pelajar PPKI SK Kuala Samak, Kuala Ketil berusia antara 7 hingga 23 tahun. Antara aktiviti utama ialah Mengenal Pelangi, di mana peserta membentuk warna-warna pelangi menggunakan playdoh. Aktiviti ini bukan sahaja memperkenalkan konsep sains secara asas, tetapi juga berfungsi sebagai permainan sensori yang sangat sesuai untuk kanak-kanak ADHD bagi membantu mereka mengawal input deria serta meningkatkan tumpuan dalam suasana yang menyeronokkan dan interaktif. Selain itu, sesi penanaman pokok tin turut diadakan sebagai pendedahan kepada asas pertanian. Melalui aktiviti ini, peserta belajar tentang proses penanaman dan penjagaan tumbuhan.

Program diakhiri dengan penyerahan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan kepada Pengurus Rumah Anak-anak Yatim/Miskin Sinar Kasih Darul Aitam, Encik Mohamad Rosli bin Yahaya.

Penganjuran program sebegini diharapkan dapat mengukuhkan hubungan antara UiTM dan masyarakat, terutamanya dalam kalangan golongan asnaf dan memerlukan. Ia juga menjadi wadah untuk membentuk warga universiti yang prihatin, empati dan bertanggungjawab sosial.

Penulis: Nurul Izza Husin dan PM Dr Nor Aziyah Bakhari