Menjejak Konservasi: Pelajar UiTM Jengka Pahang Teroka Alam di Lanchang

Lanchang, 17 Mei 2025 – Seramai 103 pelajar Diploma Sains dari UiTM Cawangan Pahang, kumpulan AS1204E, AS1204F, AS1204G dan AS1204H telah menyertai satu lawatan akademik ke Institut Biodiversiti Perhilitan (IBD) dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah.

Lawatan yang berlangsung sempena kursus Pengenalan kepada Ekologi ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai usaha konservasi biodiversiti di Malaysia. Di IBD, pelajar didedahkan dengan pelbagai aspek pemuliharaan hidupan liar termasuk isu konflik manusia-haiwan, fungsi pusat konservasi serta peranan masyarakat dalam menyokong inisiatif pemuliharaan.

Menurut salah seorang pensyarah pengiring, lawatan ini membuka mata pelajar terhadap realiti pemuliharaan di lapangan, bukan hanya sekadar teori di bilik kuliah.

Sementara itu, di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, pelajar mempelajari usaha pemuliharaan gajah Malaysia yang semakin terancam akibat kehilangan habitat. Mereka turut diberi penerangan mengenai proses menyelamat dan penjagaan gajah liar serta cabaran yang dihadapi oleh pihak berkuasa.

Lawatan sehari ini diharap dapat memupuk kesedaran dan minat pelajar terhadap usaha melindungi biodiversiti negara demi kelestarian alam sekitar.

Penulis bersama: Norlailatul Wahidah Musa, Nurthabitah Shaikh Nasir, Sarah Laila Md. Jan