
JENGKA, 17 Mac – Seorang pensyarah kanan Biologi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Jengka, Dr. Haji Muzamil bin Haji Mustaffa, telah mengambil bahagian dalam sesi libat urus bersama Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu (BSKB), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan beberapa universiti tempatan. Sesi ini membincangkan bidang pengkhususan ahli entomologi kesihatan awam.
Sesi yang dipengerusikan oleh Cik Perada Wilson Putit, Ketua Profesion, Pegawai Sains (Kaji Serangga) dan turut dihadiri oleh Prof. Madya Ts. Dr. Abdul Hafiz bin Ab. Majid, Anggota Ahli Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu (Ahli Entomologi Kesihatan Awam), kakitangan KKM, serta wakil dari beberapa universiti tempatan yang menawarkan pengajian entomologi. Libat urus ini merupakan usaha sinergistik antara KKM dan Universiti Awam (UA) termasuk UiTM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Tujuannya adalah untuk memastikan kelestarian perjawatan Pegawai Sains (Kaji Serangga).
Empat agenda utama dibincangkan dalam sesi ini, iaitu bidang pengkhususan yang diperlukan bagi pendaftaran Pengamal Kesihatan Bersekutu (Ahli Entomologi Kesihatan Awam), kelayakan akademik atau bidang pengkhususan bagi jawatan Pegawai Sains (Kaji Serangga) di KKM, cadangan penambahan bidang pengkhususan ijazah pertama bagi pengamal Ahli Entomologi Kesihatan Awam mengikut Akta Profesion Sains Bersekutu 2016 (Akta 774), serta peningkatan mobiliti pelajar dalam latihan industri dan kebolehpasaran graduan dalam KKM.
Pada masa kini, bidang pengkhususan dalam Akta 774 terhad kepada lima program akademik dari empat universiti tempatan. Pengisian jawatan Pegawai Sains (Kaji Serangga) menghadapi cabaran kerana kekurangan calon dari universiti lain yang turut menawarkan bidang entomologi. Melalui sesi libat urus ini, program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Biodiversiti (AS255) dari UiTM Cawangan Pahang, yang menawarkan kursus entomologi, akan dipertimbangkan oleh ahli majlis dan bidang profesion Pegawai Sains (Kaji Serangga) untuk dimasukkan dalam iklan perjawatan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) serta diterima untuk menjalani latihan industri di KKM.
