UiTM Jalin Kerjasama dengan Komuniti Kampung Tanjung Lipis Bangunkan Pelancongan Berasaskan Komuniti

KAMPUNG TANJUNG LIPIS, 27 April – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tanjung Lipis telah menandatangani Surat Niat (LOI) bagi kerjasama strategik dalam membangunkan pelancongan berasaskan komuniti.

Majlis yang berlangsung di Kampung Tanjung Lipis ini dirasmikan oleh Yang Berbahgia Dato’ Hamdan Bin Husin, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pahang. Turut menyaksikan majlis menandatangani LOI ini ialah Ketua Penolong Pegawai Daerah, Penghulu Mukim Kuala Lipis, wakil-wakil pengarah, pemimpin komuniti, serta pensyarah dan pelajar Pengurusan Taman dan Ameniti, Kolej Alam Bina UiTM.

Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Alam Bina UiTM, Prof. TS. Dr. Hajah Emma Marinie Ahmad Zawawi, dalam ucapannya menekankan kepentingan kolaborasi ini sebagai langkah mempertemukan pendidikan dan semangat komuniti dalam menjana pertumbuhan ekonomi setempat serta memelihara warisan tempatan.

Melalui kerjasama ini, pelajar dan pensyarah UiTM akan bekerjasama dengan komuniti Kampung Tanjung Lipis membangunkan produk pelancongan yang berteraskan alam semula jadi, budaya, dan tradisi kampung. Usaha awal telah dimulakan dengan pengumpulan data oleh pelajar di bawah bimbingan pensyarah bagi projek interpretasi sejak Khamis lalu.

Kerjasama ini juga bertujuan untuk menggalakkan penglibatan anak muda kampung sebagai duta keindahan alam dan budaya tempatan. Prof. TS. Dr. Hajah Emma Marinie Ahmad Zawawi turut menambah bahawa kerjasama ini selaras dengan aspirasi UiTM untuk menjadi ejen perubahan positif melalui pendekatan ‘Universiti untuk Masyarakat’.

Majlis diakhiri dengan gimik penanaman pokok sebagai simbolik sinergi antara akademia dan komuniti dalam mencipta masa depan yang lebih hijau, inklusif, dan bermakna, bermula dari Kampung Tanjung Lipis.

Penulis : Mas Aiyu Jamaludin, Siti Zubaidah Mat Tahir, Mohd Azham Yahya, Siti Noorbaizura Bookhari & Mazzueen Md. Khalid