JENGKA, 13 April – Unit Kepimpinan Pelajar (UKP) UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Organisasi (KPO) di Dewan Tun Teja, Kolej Tun Teja, UiTM Kampus Jengka, sebagai usaha berterusan memperkukuhkan kepimpinan pelajar yang berwibawa.
Seramai 80 pemimpin pelajar yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK), serta wakil kelab dan fakulti telah menyertai slot bertajuk Penampilan & Personaliti Seorang Pemimpin. Slot ini dikendalikan oleh Mohd. Ikhsan bin Md. Raus, Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik & Matematik (KPPIM) yang juga merupakan Perunding Imej Bertauliah.
Sepanjang sesi, peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti interaktif seperti ceramah dua hala, demonstrasi pakaian, latihan amali, dan roleplay untuk memperkukuhkan pemahaman tentang penampilan profesional.
Mohd. Ikhsan menekankan kepentingan imej dalam kepimpinan, menyatakan bahawa penampilan yang sesuai dengan tempat, majlis, dan tujuan dapat mempengaruhi pembuatan keputusan. Sesi ini bertujuan meningkatkan keyakinan diri pemimpin pelajar dan membentuk first impression yang positif, serta memperkukuhkan pemahaman tentang personal branding sebagai pemimpin masa hadapan.
Inisiatif ini selaras dengan aspirasi UiTM untuk melahirkan graduan holistik yang cemerlang dalam akademik, berpersonaliti unggul, berintegriti, dan mampu memimpin dengan berkesan. Usaha ini juga menyokong aspirasi GRU2025 UiTM dalam membentuk graduan berdaya saing global melalui pemerkasaan kemahiran kepimpinan dan pembentukan sahsiah yang unggul.
Penulis & Editor: Mohd. Ikhsan bin Md. Raus