Pelajar Fisioterapi UiTM Perkasa Warga Emas Melalui Intervensi Kesihatan Berimpak Tinggi

Shah Alam, 11 Mei 2025 – Seramai 17 pelajar Semester 6 Program Pengajian Jarak Jauh (EPJJ) Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) melaksanakan inisiatif khidmat masyarakat dengan menganjurkan program kesihatan bertemakan “Rebuild, Recover, Rise” di Pusat Jagaan Warga Emas Bait Al Mawaddah, Shah Alam.

 Pogram tersebut menyasarkan pemerkasaan kesihatan dalam kalangan warga emas melalui saringan fizikal dan ceramah kesedaran, serta bertujuan menyemai nilai kasih sayang dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.

Seramai 35 penghuni pusat jagaan terlibat, dengan 17 daripadanya menyertai sesi pemeriksaan yang dikendalikan oleh pelajar berkelayakan. Pemeriksaan merangkumi tekanan darah, indeks jisim badan (BMI), kekuatan otot, penilaian keseimbangan dan risiko
jatuh – antara komponen penting dalam pengurusan kesihatan geriatri.

Selain itu, dua sesi ceramah turut diadakan bagi meningkatkan kesedaran berkaitan kesihatan warga emas. Ceramah bertajuk “Risiko Jatuh dalam Kalangan Warga Emas” disampaikan oleh Amyrudin Abu Kasin, manakala Siti Nur Akma Kamaruddin membentangkan topik “Fisioterapi dalam Penjagaan Kesihatan Warga Emas”. Kedua-dua sesi menekankan pentingnya fisioterapi dalam mengekalkan fungsi fizikal dan mencegah kemerosotan mobiliti.

Menurut penasihat program, Dr. Noor Azliyana Azizan, penganjuran aktiviti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti sasaran, malah membuka ruang kepada pelajar untuk mempraktikkan ilmu secara langsung di lapangan sebenar.

“Pendekatan bersemuka bersama populasi warga emas ini membantu pelajar mengasah kemahiran komunikasi profesional dan menanam nilai empati, selari dengan aspirasi UiTM dalam melahirkan graduan holistik,” ujarnya.

Program turut diserikan dengan penyerahan cenderamata hasil sumbangan pelbagai pihak kepada penghuni pusat jagaan, menandakan penghargaan terhadap kerjasama dan keterbukaan komuniti setempat.

Penganjuran ini membuktikan komitmen UiTM dalam mendokong inisiatif pendidikan berimpak tinggi melalui penglibatan komuniti, dan memperkukuh hubungan strategik antara institusi pengajian dan masyarakat.

Oleh: Siti Nur Akma Kamaruddin