SABAK BERNAM, 27 APRIL 2025 – Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Selangor dengan kerjasama Tourism Selangor Sdn. Bhd. telah berjaya menganjurkan Program Voluntourism Memelihara Kelestarian Alam bersempena Festival Sawah Padi Sekinchan 2025 yang berlangsung selama dua hari, pada 26 – 27 April 2025. Seramai 40 orang pelajar dan 2 orang pensyarah dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM Cawangan Selangor turut serta dalam program ini.
Hadir mewakili Rektor adalah YBrs. Profesor Dr. Mohd Hafiz Mohd Hanafiah, Timbalan Rektor Bahagian Hubungan Industri, Komuniti, Alumni dan Keusahawanan (iCARE). Inisiatif program ini diadakan untuk memupuk semangat kesukarelawanan serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara kelestarian alam sekitar dalam kalangan pelajar, komuniti setempat dan masyarakat awam.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan termasuk saringan kesihatan oleh KPJ, sesi Visit Selangor Treasure Hunt, larian sawah padi di Sekinchan serta pusingan trem dan beca elektrik sambil menikmati panorama padi. Terdapat juga sesi Voluntourism Kelestarian Alam
bersama MOTAC yang mengajak peserta turun padang memulihara habitat semula jadi.
Penyertaan ini memberi peluang kepada pelajar untuk memupuk kepekaan terhadap isu alam sekitar dan kerja berpasukan. Usaha ini turut memperteguh kesedaran tentang tanggungjawabmemelihara warisan alam untuk kesejahteraan generasi masa depan, sejajar dengan aspirasi UiTM dalam mendukung agenda kelestarian negara.
Penulis: Nor Azyyati Md Saad & Inarah Ajhar
Editor: Nor Azyyati Md Saad