Program Modul Aspirasi UTAMA Gilap Jati Diri Mahasiswa FSK UiTM Puncak Alam

Puncak Alam, 15 Mei 2025 – PUNCAK ALAM, 26 Mei 2025 – Seramai 267 pelajar Tahun Pertama (Semester 2) Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam telah menyertai Program Modul Aspirasi UTAMA yang berlangsung pada 8 dan 15 Mei lalu. Program pembangunan pelajar ini adalah bertujuan untuk memperkukuh nilai jati diri, semangat kenegaraan dan kesedaran sivik dalam kalangan mahasiswa sebagai bakal pemimpin masa depan. Program dua hari yang diadakan secara bersemuka itu berlangsung di Dewan Seminar Aras 8, Bangunan FSK 6 dan Dewan Kuliah 10, Bangunan FSK 7. Ia merangkumi dua modul penting iaitu Aspirasi 3: Celik Fikir dan Aspirasi 4: Asas Keselamatan Negara, yang merupakan sebahagian daripada enam modul wajib dalam rangka pelaksanaan program UTAMA sepanjang tiga semester awal pengajian pelajar.

Modul Celik Fikir, yang dilaksanakan pada 8 Mei, memberi tumpuan kepada aspek Perlembagaan Persekutuan, kontrak sosial dan peranan Institusi Raja-Raja Melayu dalam sistem pemerintahan negara. Sementara itu, Modul Asas Keselamatan Negara pada 15 Mei
memperkenalkan pelajar kepada ancaman keselamatan semasa termasuk jenayah digital, radikalisasi dan isu siber.

Menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Sains Kesihatan, pendekatan interaktif yang digunakan dalam program ini mampu menarik minat pelajar untuk memahami isu kenegaraan dengan lebih mendalam, “Program ini bukan sahaja menyemai semangat
patriotisme, malah dilaksanakan dalam suasana yang santai dan sesuai dengan gaya pembelajaran pelajar masa kini. Mahasiswa lebih mudah menyerap nilai-nilai penting tanpa rasa tertekan,” jelas beliau. Fasilitator program, Cik Erna Faryza Mohd Poot turut
menyatakan bahawa pelaksanaan UTAMA membawa impak positif dalam pembangunan sahsiah pelajar.

“Selain membina jati diri dan semangat nasionalisme, program ini juga membantu pelajar meningkatkan kemahiran insaniah seperti komunikasi dan kerja berpasukan melalui aktiviti LDK dan pembentangan,” katanya.

Modul Aspirasi UTAMA merupakan inisiatif UiTM dalam menyokong agenda pembangunan pelajar yang menyeluruh melalui pengukuhan nilai Usaha, Taqwa dan Mulia. Pelajar yang telah menamatkan semua modul berpeluang memperoleh sijil micro-credential yang boleh dimanfaatkan dalam pembangunan akademik dan kerjaya mereka kelak. Pendekatan pembelajaran yang diterapkan turut merangkumi ceramah interaktif, latihan simulasi, aktiviti reflektif serta perbincangan kumpulan. Hasil maklum balas pelajar menunjukkan peningkatan kefahaman terhadap isu-isu nasional serta tahap kesedaran sivik yang lebih tinggi. Program UTAMA kini dilihat sebagai platform penting dalam mencorak mahasiswa UiTM menjadi individu yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga beretika, berjiwa patriotik dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negara.