MPP UiTM Shah Alam Terima Delegasi Universiti Thaksin dalam Program Pertukaran Global

SHAH ALAM, 8 April 2025 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam Sesi 2024/2025 telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi pelajar Universiti Thaksin Kampus Songkhla & Phatthalung, Thailand sempena pelaksanaan Glocal Citizens Exchange Program: Bridging Local & Global Leadership. Program ini telah berlangsung dengan penuh bermakna di Dewan Seroja dan Kompleks Budisiswa, UiTM Shah Alam.

Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), dan YBrs. Dr. Sirichai Kumanchan, Penolong Presiden (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Thaksin. Kedua-dua tokoh ini menekankan betapa pentingnya memperkukuhkan hubungan dua hala serta memperluaskan jaringan kerjasama rentas sempadan dalam melahirkan pemimpin global yang berwibawa dan berdaya saing.

Antara agenda utama sepanjang program ini ialah sesi Leadership Exchange, di mana wakil-wakil pelajar daripada kedua-dua institusi telah berkongsi pandangan serta pengalaman berkaitan pengurusan organisasi pelajar, struktur kepimpinan kampus, serta pelaksanaan inisiatif yang berimpak tinggi kepada komuniti mahasiswa.

Para peserta turut menyertai pembentangan projek dan forum interaktif, yang memberi tumpuan kepada tema kepimpinan pelajar dalam era globalisasi, serta peranan institusi pengajian tinggi dalam membina jati diri dan kesedaran antarabangsa dalam kalangan belia.

Keunikan budaya Malaysia turut diketengahkan menerusi persembahan nyanyian dan tarian tradisional yang dipersembahkan oleh Pusat Kebudayaan UiTM. Malah Delegasi pelajar dari Thailand turut diberi peluang untuk merasai pengalaman dan pendekatan lebih dekat dengan sistem organisasi perwakilan pelajar melalui lawatan ke Pejabat dan Bilik Gerakan MPP, yang berperanan sebagai nadi pentadbiran pelajar di kampus.

Program ini bukan sahaja memperkukuh peranan MPP UiTM Shah Alam sebagai penghubung antara pelajar tempatan dan antarabangsa, malah membuka ruang yang lebih luas untuk berkolaborasi di masa hadapan seperti program pertukaran pelajar, penyelidikan bersama, serta projek komuniti rentas negara. 

MPP UiTM Shah Alam berharap program seumpama ini dapat diteruskan secara berterusan bagi membentuk pemimpin pelajar yang bukan sahaja cemerlang di peringkat nasional, malah bersedia menyahut cabaran di peringkat global.