Kemampanan Adiwangsa: Menyemai Nilai Kenegaraan Dalam Jiwa Warga UiTM

MERU, KLANG | 25 April 2025 – Jawatankuasa Pelaksana Adiwangsa UiTM Cawangan Selangor dan Akademi Kenegaraan Malaysia dengan kerjasama Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa UiTM Shah Alam telah berjaya menganjurkan Program Kemampanan Adiwangsa yang berlangsung selama tiga hari, dari 23 sehingga 25 April 2025 di Pusat Latihan Kenegaraan Meru Klang. Program yang bertujuan memperkukuh nilai kenegaraan, jati diri serta pemahaman mendalam terhadap prinsip-prinsip asas perlembagaan negara ini telah disertai oleh seramai 65 orang kakitangan UiTM Cawangan Selangor.

Antara pengisian program adalah Forum Ilmiah bertajuk “Perkara 153: Perlembagaan Persekutuan”. Forum berwibawa ini menampilkan YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan dan Dr. Ikmal Hisham Md. Tah membuka tirai kefahaman mendalam tentang hak, sejarah dan kedudukan Perkara 153 dalam kerangka perlembagaan. Program turut diserikan dengan sesi inspirasi bersama YBrs. Dr. Hajah Zahrah Mokhtar, Mantan Pendaftar UiTM, bagi menyemarakkan semangat Usaha, Takwa, Mulia dalam jiwa warga UiTM. Perkongsian ini menekankan pembudayaan slogan UiTM sebagai teras nilai ESI dan i-DART.

Para peserta turut menerima Sijil Perakuan Penyertaan daripada Akademi Kenegaraan Malaysia sebagai tanda penghargaan atas komitmen mereka dalam menjayakan program ini. Ucapan setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Akademi Kenegaraan Malaysia atas sokongan padu yang diberikan. Semoga kerjasama ini terus kukuh demi merealisasikan visi Kemampanan Adiwangsa UiTM pada masa akan datang.

Penulis: Nor Azyyati Md Saad & Inarah Ajhar

Editor: Nor Azyyati Md Saad