
Shah Alam, 29 April 2025 – Fakulti Sains Kesihatan UiTM telah menganjurkan satu program webinar ilmiah bertajuk “Tuduhan Integriti? Ketahui Hak dan Tindakan Anda di UiTM” yang berlangsung secara dalam talian melalui platform Zoom pada 27 Mac 2025. Program ini diterajui oleh Dr. Mazura Bahari selaku Pengarah Program dan mendapat sambutan luar biasa, dengan penyertaan hampir 300 orang staf UiTM dari seluruh Malaysia.
Webinar yang berlangsung dari jam 2.30 hingga 4.30 petang ini bertujuan memberikan kefahaman mendalam mengenai tuduhan integriti yang meliputi pelanggaran seperti plagiat, salah guna kuasa, dan salah laku akademik. Penceramah jemputan, En. Mohd Hafiz Ramle, Ketua Unit Integriti UiTM Shah Alam, telah menerangkan hak individu yang berdepan tuduhan, proses siasatan yang adil, serta saluran sokongan yang tersedia.
Antara objektif utama webinar ini adalah untuk memperjelaskan peraturan penting seperti Akta 174, meningkatkan kesedaran tentang kesan tuduhan integriti terhadap individu dan institusi, serta memupuk penyelesaian beretika dan tindakan proaktif dalam kalangan staf. Sesi interaktif turut memberi ruang kepada peserta untuk bertanya dan berdiskusi secara terbuka.
Program ini berjaya meningkatkan kesedaran dan pemahaman peserta mengenai pentingnya mengamalkan integriti, sekali gus memperkukuhkan komitmen UiTM dalam mewujudkan persekitaran kerja yang telus, bertanggungjawab dan beretika.
