
KUANTAN, 29 April 2025 – Rektor UiTM Cawangan Pahang, YBrs. Prof. Ts. Dr. Azhan bin Hashim @ Ismail telah menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pahang yang diadakan pada 16 April 2025.
Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Turut hadir ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Ketua Polis Pahang, DCP Dato’ Sri Yahaya bin Othman, serta ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan polis.
Dalam majlis tersebut, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan menyampaikan sumbangan kepada anggota polis yang akan menunaikan ibadah haji dan mengurniakan duit raya kepada anak-anak anggota polis.
YBrs. Prof. Rektor turut berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pahang, SAC Dato’ Mohamad Noor bin Yusof Ali, bagi membincangkan hala tuju dan potensi kerjasama dengan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) UiTM Cawangan Pahang.
YBrs. Prof. Rektor diiringi oleh Pegawai Kehormat SUKSIS UiTM Cawangan Pahang, ASP/KS Mohd.Ikhsan bin Md.Raus, dan Pegawai Latih Kor SUKSIS UiTM Cawangan Pahang, Inspektor Intan Diana binti Bakri.
Kehadiran UiTM Cawangan Pahang dalam majlis berprestij ini memperkukuh hubungan strategik dengan agensi keselamatan negara, selaras dengan aspirasi universiti untuk memperluas jaringan sinergi bersama komuniti dan agensi luar. Inisiatif ini juga seiring dengan sasaran GRU2025 UiTM dalam memperkasakan keterlibatan institusi di peringkat negeri dan nasional.
Penglibatan Kor SUKSIS UiTM Cawangan Pahang dalam kerjasama ini mencerminkan komitmen universiti dalam membina budaya khidmat masyarakat dan kesedaran keselamatan awam dalam kalangan mahasiswa, serta memupuk nilai kepimpinan, patriotisme, dan kebertanggungjawaban sosial.
Penulis: ASP/KS Mohd.Ikhsan bin Md.Raus