1st International Conference On SDG Research 2nd SIVIIC

Pada 12 – 13 Januari yang lalu, UiTM Cawangan Sabah telah berjaya menganjurkan persidangan antarabangsa, 1st International Conference on Sustainable Development Goals (SDG) Research @ Borneo. Program ini telah diadakan secara hybrid melalui siaran live di laman Facebook rasmi Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah, saluran rasmi Youtube UiTM Sabah Channel dan secara fizikal di Marriot Hotel Kota Kinabalu, Sabah.

Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni, UiTM Cawangan Sabah dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (KSTI) Sabah serta sokongan daripada Emerald Publishing dan Research Synergy Foundation (Indonesia), persidangan Sustainable Development Goals (SDG) telah berjaya diadakan dengan penglibatan para peserta daripada universiti tempatan dan juga luar negara seperti Indonesia dan Filipina. Persidangan ini menjadi wadah bagi para peserta untuk saling bertukar pandangan melalui penulisan serta perkongsian semasa persidangan dengan tema “Addressing Glocal Challenges in Achieving the SDGs” melalui penglibatan bidang masing-masing iaitu Sains & Teknologi dan juga Sains Sosial.

Penceramah daripada Malaysia CSO-SDG Alliance, Prof Datuk Dr Denison Jayasooria juga turut hadir secara maya dalam persidangan tersebut dan telah berkesempatan membuat ucaptama yang mendalam berkisarkan tentang matlamat-matlamat SDG. Bagi Bidang Sains & Teknologi, Best Paper Award telah dianugerahkan kepada kertas penyelidikan yang bertajuk “Understanding Forest Degradation – A Review of Forest Structure Indicators”. Manakala bagi bidang Sains Sosial pula telah dianugerahkan kepada kertas penyelidikan yang bertajuk “Interlinkages and Factors Affecting the Poverty Eradication Goal in Selected Asia-Pacific Countries”. Selain itu, anugerah lain adalah Emerald Choice Award bagi Best Video Presentation telah dirangkul oleh kertas penyelidikan yang bertajuk “21st Century Skills of Rural and Urban University Students: The Borneo Context”

Pada hari berikutnya, program Sabah International Virtual Innovation & Invention Competition (SIVIIC) 2021 kali kedua juga telah dijayakan dengan kerjasama dan sokongan padu daripada KSTI Sabah dan organisasi luar seperti Maybank, Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) dan Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC). Secara amnya, UiTM Cawangan Sabah telah berjaya menyumbang buat kesekian kalinya kepada pembudayaan inovasi di negeri bawah bayu ini. Malahan, pertandingan tersebut telah berjaya menghimpunkan hampir 70 penyertaan inovasi yang merangkumi lebih 200 orang peserta dengan dua kategori yang dipertandingkan termasuk kategori Sains & Teknologi dan Sains Sosial.

Dengan tema “Turning COVID-19 Uncertainty into Opportunity”, penganjuran 2nd SIVIIC 2021 pada kali ini sekali lagi telah berjaya membuka peluang kepada warga Malaysia tanpa mengira umur dan latar belakang pendidikan untuk mengutarakan idea-idea rekacipta dan produk mereka. Tuntasnya, program sedemikian merupakan saluran yang amat efektif dalam membawa kepada pencetusan idea-idea bernas, kolaborasi bersama pemain-pemain industri dan akhirnya menghasilkan pengkomersialan produk atau perkhidmatan.

Hal ini demikian kerana program-program inovasi sebegini amat bertepatan dengan kesesuaian pendekatan kepada masyarakat bagi menyalurkan ruang pendedahan bakat dan idea-idea unik para peserta yang mana ianya sekaligus memberi impak besar terhadap kemajuan dan perkembangan sesebuah organisasi dalam masyarakat kita. Selain itu, terdapat beberapa anugerah juga telah dinobatkan kepada para pemenang antaranya ialah Champion of All yang dianugerahkan kepada projek inovasi yang bertajuk “Sulam For INV621”. Anugerah lain yang telah dinobatkan kepada para peserta yang lain merupakan Best Professional Inventor; Best Young Inventor; Maybank Best Junior Inventor Award; SCENIC Most Potential Innovation Award; dan Maybank Most Liked Videos.