PPT National Virtual Innovation Competition 2022 (PPTnVIC2022)


PERMATANG PAUH, 4 Februari 2022 – 5 Kumpulan Inovasi dari Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM Cawangan Pulau Pinang telah berjaya merangkul 4 pingat emas, 1 pingat perak dan 3 Anugerah Khas (Ruby prize, Pearl prize dan Anugerah Video Terbaik) dalam PPT National Virtual Innovation Competition 2022. (PPTnVIC2022). Sekalung syabas dan tahniah buat mereka yang telah mencipta satu kejutan di awal tahun 2022.

Program anjuran Pejabat PPT UiTM Shah Alam itu baru sahaja mengumumkan keputusan baru-baru ini hasil daripada pertandingan tersebut yang telah berlangsung bermula 3 Januari sehingga 21 Januari 2022. PPTnVIC 2022 adalah satu program pertandingan inovasi buat julung kalinya diadakan secara maya yang melibatkan semua pelajar pra diploma di setiap kampus cawangan dengan setiap kumpulan peserta perlu menyediakan video pembentangan berkaitan inovasi pembelajaran.

Antara objektif penganjuran PPTnVIC ini adalah untuk mencungkil bakat daya kreativiti para peserta dalam menghasilkan inovasi bertemakan pembelajaran serta pembentangan menerusi video e-content. Pertandingan yang bertemakan: Memperkasakan pelajar ke arah inovasi pembelajaran ini dibahagikan kepada 4 kategori penyertaan iaitu Online Teaching & Learning Strategies, STEM Education, Education Gaming dan Virtual Online Laboratories.

Sebanyak 47 pasukan dengan penglibatan seramai 280 pelajar pra diploma dari setiap kampus cawangan telah meyertai edisi sulung ini. Tidak ketinggalan bagi UiTM Cawangan Pulau Pinang yang turut menghantar 5 wakil pasukan inovasi yang terdiri daripada 9 pelajar program pra perdagangan, 6 pelajar pra diploma sains serta 6 fasilitator dengan mencipta satu kejayaan yang luar biasa.

Inovasi PHY083 Brain Booster yang telah dianggotai oleh Muhammad Ehsan Bin Sayuti, Nurliyana Binti Mohd Nizam dan Husna Binti Basyaruddin telah berjaya merangkul pingat emas dan memenangi angerah khas (Ruby Prize) yang membolehkan mereka membawa pulang RM250 daripada pihak penganjur. Kumpulan ini telah dibimbing oleh dua orang pensyarah daripada Jabatan Sains Gunaan iaitu Puan Suhaiza Binti Hasan dan Puan Noorezal Atfiynna Mohd Napiah.

Selain itu, projek inovasi MOLP: Learning Math through Online Learning Portal pula yang disertai oleh Nur Ain Najlia Binti Fakhrunrozi, Irdina Nurain Binti Zahiyan dan Nur Athirah Binti Zamri pula telah merangkul pingat emas, anugerah khas (Pearl Prize) dan Video Terbaik dengan membawa pulang hadiah RM50 daripada pihak penganjur. Mereka telah dibimbing oleh Puan Wan Anisha Binti Wan Mohamad dan Puan Rafizah Binti Kechil iaitu pensyarah daripada Jabatan Sains Komputer dan Matematik.

Sekalung tahniah juga buat semua ahli pasukan bagi projek inovasi Smart Interactive Revision Tools (SIRT 2.0) dan GEOGRAM: Learning Through Play yang turut dianugerahkan pingat emas. Selain itu, ucapan tahniah juga ditujukan kepada semua ahli kumpulan inovasi Chemithon and Physicthon yang telah memenangi pingat perak. Semoga kejayaan ini menjadi permulaan yang baik untuk para pelajar pra diploma meneruskan kecemerlangan di peringkat diploma dan seterusnya.