UiTM MEMPERKUKUH KERJASAMA DENGAN WORLD TRADE CENTRE KUALA LUMPUR

Kuala Lumpur, 2 Mac 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) bagi memperkukuh kolaborasi secara rasmi yang sedia terjalin antara kedua-dua pihak bertempat di Tanjung Lounge, World Trade Centre Kuala Lumpur. Memorandum tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor UiTM, ProfessorDatuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor dan Ketua Kumpulan Pegawai Eksekutif En. Mohd Yusri Junos serta disaksikan oleh Dekan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP) UiTM, Prof. Dr Mohd Salehuddin Mohd Zahari dan Ketua Pengarah Urusan WTCKL, Dato’ Sri Dr Hj Irmohizam Haji Ibrahim.

“Kerjasama strategik ini diperlukan bagi memperkukuh hubungan industri untuk memastikan UiTM kekal berdaya saing melalui perkongsian pengetahuan dalam sektor Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions (MICE) dan Business Events Industry. WTC Kuala Lumpur merupakan salah satu penyumbang besar kepada industri MICE untuk Malaysia yang mana WTC juga telah berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada bakal graduan UiTM melalui pembangunan lestari yang seiring dengan kelangsungan ekonomi”, Profesor Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor.

Datuk Naib Canselor turut merakamkan penghargaan atas kerjasama yang dijalin dan berharap lebih banyak inisiatif menerusi sinergi yang produktif dengan nilai akademik terbaik dihasilkan, khususnya dalam menangani jurang pengetahuan dan kemahiran antara industri dan akademik. Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan merupakan antara pemain utama dalam industri pengurusan acara dan diiktiraf sebagai salah sebuah institusi terbaik dunia (tempat ke-2 di Malaysia) dalam bidang pengurusan hospitaliti dan pelancongan menerusi penarafan QS World University Rankings by Subject.

Sementara itu, Dato’ Sri Dr. Hj Irmohizam Haji Ibrahim berkata, adalah penting bagi organisasi WTC Kuala Lumpur untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak industri termasuk Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berkaliber dalam mencari formula baharu bagi menjamin kelestarian sektor hospitaliti yang kini turut berdepan cabaran pemulihan modal insan selepas pandemik. “Kerjasama dengan UiTM ini, bukan sahaja mampu melahirkan bakat yang lebih berkemahiran, malah berupaya memanfaatkan perkembangan organisasi bagi kedua-dua pihak,” katanya.

Pemeteraian MoC tersebut turut memfokuskan kepada pertukaran kepakaran dalamindustri MICE yang dapat mewujudkan peluang penganjuran aktiviti atau projek yang
memberi manfaat bersama merangkumi persidangan, kursus-kursus jangka pendek serta isu penyelidikan berkaitan pelancongan, di samping saling mempromosi maklumat dan aktiviti berkaitan ruang lingkup kerjasama ini.

PERTANYAAN MEDIA

Pengarah Kanan
Jabatan Komunikasi
Universiti Teknologi MARA
Emel: azida767@uitm.edu.my
Tel: (+6014) 841 1191

Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP) UiTM
Prof. Madya Dr. Mohd Hafiz Mohd Hanafiah
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri
hafizhanafiah@uitm.edu.my