185,400 Pelajar UiTM Diberi Pelepasan Pulang Mengundi PRU-15

SHAH ALAM, 27 OKTOBER 2022  – Universiti Teknologi MARA (UiTM), menyambut baik pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 21 Oktober 2022 untuk memberikan pelepasan selama lima hari bermula 17 November ini kepada pelajar UiTM untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang telah ditetapkan pada 19 November 2022 (Sabtu).

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk. Ts. Dr. Hjh. Roziah Mohd Janor berkata UiTM merupakan institusi tinggi yang mempunyai bilangan pengundi muda paling ramai iaitu 185,400 orang dan jumlah ini menyumbang kepada 15.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi muda di Negara ini. “Saya percaya setiap undian pelajar UiTM ini adalah amat penting untuk membentuk masa depan negara dan berharap dengan pelepasan yang diberikan ini, semua pelajar UiTM dapat melunaskan tanggungjawab sebagai pengundi muda demi negara Malaysia tercinta.” tambahnya lagi.

Merujuk kepada Pekeliling Naib Canselor Bilangan 13 Tahun 2022 : Pekeliling Pengoperasian Akademik Berikutan Pelepasan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Untuk Pulang Mengundi Bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 yang berkuatkuasa 27 Oktober 2022, menyatakan tarikh pelepasan selama 5 hari ini memberikan tempoh yang cukup kepada pelajar untuk membuat persiapan bagi perjalanan pergi dan balik ke/dari lokasi mengundi. Pelepasan kuliah pada 17-21 November 2022 ini turut terpakai kepada semua pelajar di 34 kampus UiTM seluruh negara. Manakala, bagi pelajar-pelajar yang terlibat dengan latihan industri, adalah menjadi tanggungjawab pelajar untuk mendapatkan pelepasan dan kebenaran terlebih dahulu daripada pihak majikan sebelum pulang mengundi. Bagi memastikan pengoperasian akademik tidak terganggu, penyampaian secara teradun atau penggantian kuliah boleh dilaksanakan bagi tarikh pelepasan perkuliahan berkenaan. Namun, penyampaian secara hibrid boleh dilaksanakan untuk perkuliahan pada 14 hingga 16 November 2022.

Selain itu, merujuk kepada kalendar Akademik Sesi 1 2022/2023, tarikh cuti pertengahan semester / cuti khas perayaan adalah dikekalkan seperti yang telah ditetapkan pada 21-27 November 2022. Untuk pengoperasian pulang mengundi, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM akan membantu menyediakan perkhidmatan bas untuk menghantar pelajar ke terminal bas / lapangan terbang yang berhampiran. Maklumat berkenaan perkhidmatan berkenaan akan disediakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar di PTJ masing-masing.