Khamis – Pengurusan zakat di Universiti Teknologi MARA telah diiktiraf sebagai pengurusan terbaik oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan penganugerahan pemenang Anugerah Prestasi Komitmen dan Pengurusan Terbaik 2020, mengatasi 17 buah IPTA/IPTS seluruh Selangor. Penganugerahan tertinggi bagi kategori Penolong Amil IPT ini sekaligus mengiktiraf komitmen dan pengurusan zakat terbaik yang telah dilaksanakan oleh Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF), Universiti Teknologi MARA.
Anugerah ini merupakan pengiktirafan kali kedua berturut-turut yang diterima oleh ZAWAF UiTM selepas dianugerahkan Best Zakat Management in Higher Education Institutions Award 2020 di dalam Global Islamic Finance Awards 2020 (GIFA 2020) pada 14 September 2020 yang lalu. Pengiktirafan daripada dalam dan luar negara yang diterima oleh ZAWAF UiTM ini membuktikan kesungguhan komitmen pengurusan terbaik yang telah dilaksanakan, khususnya dalam pengurusan melibatan kutipan dan agihan zakat di Universiti Teknologi MARA UiTM.
Anugerah ini diumumkan di dalam program E-Majlis Mesra Ejensi yang dianjurkan oleh Lembaga Zakat Selangor melibatkan semua agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mengutip zakat di seluruh negeri Selangor. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Zakat Selangor, Tuan Haji Saipolyazan Mat Yusop dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada semua Penolong Amil IPT yang membantu dalam meningkatkan kutipan zakat di Selangor sekaligus membantu meningkatkan jumlah bantuan kepada rakyat Selangor yang memerlukan.
Anugerah ini diumumkan oleh En. Zainuddin Johari, selaku Ketua Jabatan Pengurusan Ejensi Kutipan, Lembaga Zakat Selangor manakala ZAWAF UiTM diwakili oleh Dr. Mohd Ashrof Zaki Yaakob, selaku Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF), UiTM.
Pengurniaan anugerah ini merupakan suatu pengiktirafan tertinggi kepada seluruh warga ZAWAF UiTM yang bertungkus lumus menyalurkan bantuan kepada seluruh warga UiTM yang memerlukan dengan melaksanakan budaya pengurusan dan gerak kerja yang cemerlang. Dalam majlis yang sama, ZAWAF UiTM juga dinobatkan mendapat tempat kedua kutipan dana zakat tertinggi dalam kalangan IPT/IPTA Negeri Selangor yang berakhir pada bulan Disember 2020.
Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada pengurusan tertinggi UiTM dan seluruh warga UiTM diatas sokongan dan dokongan yang diberikan kepada ZAWAF UiTM. Penganugerahan ini menggambarkan komitmen terbaik seluruh warga UiTM yang prihatin dan bertanggungjawab dalam membantu golongan yang memerlukan. Teruskan bersama menyokong ZAWAF UiTM dan jom berzakat @ UiTM!