YAB Timbalan Perdana Menteri Menyantuni Mahasiswa UiTM Menerusi Majlis Riang Raya MPP UiTM

SHAH ALAM, 18 Mei 2023 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam sesi 2022/2023 dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UiTM telah menganjurkan Majlis Riang Raya Majlis Perwakilan Pelajar Bersama YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri bertempat di Dewan Berlian, Kampus Puncak Alam, UiTM Cawangan Selangor. Majlis ini melibatkan hampir 5,000 pelajar UiTM Shah Alam dan UiTM Cawangan Selangor. Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk mewujudkan masyarakat Malaysia Madani yang bersatu padu dalam meraikan perayaan sebegini.

Pada masa yang sama, YAB Timbalan Perdana Menteri juga memberi pengiktirafan kepada pelajar UiTM yang telah berjaya meraih pingat di Sukan Southeast Asian Games (SEA) 2023 serta para pelajar yang merangkul anugerah Top ACCA Prize Winner March 2023. Dalam ucapan rasminya, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang telah berjaya menaikkan imej UiTM sekali gus dapat membuktikan UiTM sebagai sebuah universiti yang mampu bersaing di peringkat global.

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini turut dimeriahkan dengan kehadiran 105 pelajar golongan asnaf dari UiTM Shah Alam dan UiTM Cawangan Selangor yang terdiri daripada pelajar B40, OKU dan kurang berkemampuan. YAB Timbalan Perdana Menteri telah menyampaikan sumbangan berbentuk makanan kering kepada semua pelajar golongan asnaf yang hadir bagi membantu mereka menampung kos barangan keperluan harian. Sumbangan ini telah ditaja oleh pihak KOSISWA UiTM dan syarikat Secrezz Empire dengan kerjasama Pejabat YAB Timbalan Perdana Menteri.

Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti dalam menunjukkan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan. Turut hadir ke majlis ini ialah YBhg. Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose (Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti), Ahli Lembaga Pengarah Universiti dan Pengurusan Eksekutif Universiti.

Selain Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Majlis Riang Raya ini juga ditaja oleh syarikat Secrezz Empire, KOSISWA UiTM, AAG Holdings Services Sdn. Bhd. dan sebagainya. Kerjasama dan sokongan mereka telah memberikan kelebihan dan sinergi kepada majlis ini untuk terus berjalan lancar dan memberi kesan yang positif kepada semua pihak yang terlibat.

YAB Timbalan Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di semua kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) seluruh negara. Beliau berkata, peruntukan itu bertujuan bagi memudahkan MPP berinteraksi dengan mahasiswa serta menjalankan aktiviti berfaedah. “Untuk pertengahan tahun ini, saya berikan RM10,000 kepada setiap MPP dan saya minta mereka buat aktiviti mengikut garis panduan”. “Pada akhir tahun ini kalau mereka membelanjakan mengikut garis panduan diberikan, saya akan ikhtiarkan untuk tambah lagi RM10,000,” katanya.

Menerusi sambutan ini, UiTM mengharapkan warganya akan terus berjaya dalam bidang akademik dan menyumbang kepada masyarakat. Universiti berazam untuk terus memberikan pendidikan berkualiti dan sokongan kepada para pelajar agar dapat mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang.