Puncak Alam – Program pertandingan X-tagram telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan 2021, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Kampus Puncak Alam dengan matlamat untuk membantu mahasiswa dalam mengatasi masalah dalam pembelajaran atas talian memandangkan pandemik Covid-19 telah menyebabkan banyak aktiviti kelas bersemuka dibatalkan dan telah diubah menjadi kelas pembelajaran atas talian. Selain itu, program ini juga bermatlamat untuk memberi inspirasi kepada mahasiswa lain dalam mengekalkan semangat belajar yang kuat.
Program ini telah berlangsung selama dua minggu iaitu pada 30 April 2021 sehingga 17 Mei 2021 menggunakan platform media sosial Instagram. Penyertaan program ini dibuka kepada semua warga Fakulti Sains Kesihatan UiTM Kampus Puncak Alam. Sebanyak enam orang mahasiswa pengimejan perubatan telah terlibat sebagai jawatankuasa program ini, dan disertai oleh 16 mahasiswa dari program Teknologi Makmal Perubatan, program Fisioterapi dan program Pengimejan Perubatan yang berada di bawah Fakulti Sains Kesihatan.
Nama program X-tagram dipilih kerana program ini dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Pengimejan Pengubatan yang mewakili X, dan stagram dipetik singkatan daripada nama media sosial Instagram di mana program ini dijalankan. Pada 23 April, program dimulakan dengan poster program dan juga poster terma dan syarat pertandingan yang dimuatnaik ke media sosial Instagram MISA. Mahasiswa diminta untuk memuatnaik gambar ruang belajar mereka, beserta kapsyen tentang cara untuk menyesuaikan diri dengan pembelajaran atas talian. Konsep ini dijadikan sebagai tema program pada sesi ini kerana dalam pandemik Covid-19 sekarang ini, mahasiswa terpaksa belajar melalui platform atas talian dan akibatnya, banyak prestasi mahasiswa yang terjejas.
Setelah beberapa hari poster X-tagram disebarkan, penyertaan akhirnya dibuka pada 30 April 2020 sehingga 14 Mei 2021, yang berlangsung selama dua minggu. Dalam tempoh dua minggu ini, pelbagai penyertaan telah diterima berkat daripada usaha para mahasiswa pengimejan perubatan yang mempromosikan program ini kepada rakan – rakan yang sedang belajar di bawah Fakulti Sains Kesihatan. Kebanyakan peserta terdiri daripada para mahasiswa pengimejan perubatan sendiri, yang amat berminat dengan program ini, dan dapat dilihat daripada pelbagai soalan tentang penyertaan yang diajukan di ruangan mesej Instagram MISA.
Pelbagai cara untuk menyesuaikan diri dalam membantu pembelajaran atas talian telah dikongsikan, contohnya daripada pengguna @izzatirzd di Instagram yang mencadangkan bahawa ruang belajar seharusnya mempunyai pencahayaan yang baik. Di samping itu, pengguna @inur_izzati di Instagram juga menyatakan bahawa pengurusan masa sangat penting agar tidak terlepas sebarang tarikh penting contohnya tarikh menghantar kertas kerja. Selain itu, pengguna @eeizzzaa di Instagram juga telah berkongsi kegunaan lilin aromaterapi mampu untuk menenangkan fikiran yang runsing. Akhir sekali, pengguna @putriqamarryna_ di Instagram juga berkongsi bagaimana kehadiran haiwan peliharaan sebenarnya amat membantu sebagai rakan peneman ketika menghadiri kuliah atas talian.
Terdapat banyak cara yang dikongsi yang telah dikumpulkan dan disimpan di “Highlight” Instagram MISA. Pada 17 Mei 2021, pertandingan ditutup dan peserta diadili oleh ahli jawatankuasa program dan juga dibantu penasihat MISA. Pemenang X-tagram iaitu pengguna Instagram @nabiljamals diumumkan pada 24 Mei 2021 melalui platform media sosial Instagram MISA. Pemenang tempat pertama mendapat sejumlah wang tunai berjumlah RM50, tempat kedua RM30, dan tempat ketiga RM20. Sebagai kesimpulan, program ini telah mencapai matlamatnya kerana telah memberikan impak positif dan semangat kepada mahasiswa untuk terus berusaha memperbaiki diri untuk menyesuaikan diri dengan pembelajaran atas talian. Sekalung ucapan terima kasih diucapkan kepada setiap insan yang telah membantu dalam menjayakan program ini. Diharap agar program ini memberi manfaat kepada setiap mahasiswa dan akan berterusan kesinambungannya di semester – semester akan datang.