Perasmian Program MyCareer @ MOHE, Zon Borneo (Sarawak)

 

KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak telah diberi penghormatan menjadi penganjur utama program MyCareer @ MOHE, Zon Borneo (Sarawak) oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Malaysia. Majlis ringkas perasmian program ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dr. Anuar Rapaee, Menteri Muda Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak pada 24 Mei 2021 hari Isnin yang mana ia telah diadakan secara atas talian di laman Facebook UiTM Cawangan Sarawak bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang masih melanda negara ini.

Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan bagi Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia amnya & Sarawak khasnya serta membantu menyediakan para graduan bagi menempuh alam pekerjaan yang mencabar. Berbagai – bagai aktiviti akan dilaksanakan semasa program kerjaya ini berlangsung. Antaranya ialah temuduga kerjaya, siri webinar bersama panel terkemuka dan ujian kerjaya. Siri webinar bersama panel terkemuka akan menampilkan 9 orang ucaptama iaitu YBhg. Dato’ Tom Abang Saufi merupakan pereka fesyen atau usahawan, Encik Zulkifli bin Ismail, Pegawai Tadbir dari Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Encik Awang Mohd Faizul bin Awang Mohamad Hamssin, Penganalisis Komunikasi Kanan, Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice iaitu penyanyi rappers atau penceramah motivasi, Encik Mohamad Hanafi Jamiat, Pensyarah Kanan dari UiTM Cawangan Sarawak, Encik Mohd Zaki Isa, perunding dari BRIS Solutions Sdn. Bhd., Encik Harith Iskander, pelawak dan selebriti, Encik Jimmy Mak Chii Ping, Perunding Kerjaya dan Fadhil Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Cardock merupakan Youtuber dan Content Creator.

Penganjur bersama bagi program ini adalah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti College of Technology Sarawak (UCTS), Swinburne University Sarawak, i-CATS College University, Centre of Technical Excellence (CENTEXS), Kolej Komuniti Kuching dan Politeknik Kuching manakala Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merupakan rakan strategik bagi Program MyCareer @ MOHE, Zon Borneo (SARAWAK). Terdapat lebih kurang 30 buah syarikat daripada pelbagai industri turut berkolaborasi menyertai program ini dan telah membuka sebanyak 300 buah peluang pekerjaan kepada para graduan yang berminat.

Semua graduan yang telah mendaftar bagi program ini diharapkan mendapat ilmu kerjaya yang berguna dalam bidang kerjaya dan mendapat peluang pekerjaan daripada pelaksanaan program My Career @ MOHE, Zon Borneo (Sarawak).