TAPAH, 27 Ogos 2023 – Fakulti Sains Gunaan Kampus Tapah telah menganjurkan program Webinar Kursus Asas Robotik. Seramai 109 peserta berdaftar terdiri pelajar sekolah rendah, pelajar sekolah menengah, pelajar UiTM, pekerja sektor awam dan staf UiTM telah meyertai webinar program robotik 2023 secara atas talian ini. Peserta yang terlibat berumur di dalam lingkungan 20 sehingga 60 tahun. Program ini bermula pada jam 9.00 pagi dengan sesi 1 oleh Dr. Rafael Julius iaitu pengenalan asas tentang robotik.
Beliau memberi penerangan mengenai Arduino iaitu alat untuk mengawal elektronik. Seterusnya, program diteruskan dengan sesi 2 oleh Dr. Dafizal Derawi yang bertajuk asas pengetahuan mencipta robot dan sesi mencipta robot secara atas talian (maya) melalui laman sesawang Tinkercard. Di awal sesi, beliau menerangkan kepada peserta mengenai mekatronik iaitu bidang yang menggabungkan bidang mekanikal, eletrik dan elektronik, sistem kawalan dan pengaturcaraan.
Pada pukul 2.00 petang, sesi diteruskan dengan slot simulasi mencipta robot menggunakan modul latihan melalui laman sesawang Tinkercard.com. Melalui laman sesawang ini, peserta dapat mereka litar elektronik, memprogram dan melakukan simulasi projek dan ianya sangat sesuai untuk peserta yang baru mula belajar. Terdapat 4 projek yang telah dilaksanakan pada sesi petang. Sebagai konklusinya, hasil program webinar ini peserta dapat memahami konsep asas robotik serta dapat mencipta projek sendiri dengan menggunakan modul dan laman sesawang Tinkercard. Melalui program ini juga penceramah membantu peserta menyelesaikan masalah ketika mencipta projek supaya peserta dapat pengetahuan khusus untuk menjayakan projek mereka.