Taklimat Pelaksanaan Model A.D.A.B dalam Pengajaran dan Pembelajaran di UiTM Cawangan Pahang

JENGKA, 19 September 2023 – Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA), UiTM Cawangan Pahang (UCPh) bersama-sama ahli Champion A.D.A.B. UiTM Pahang telah menganjurkan Taklimat Pelaksanaan A.D.A.B dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di UCPh bertempat di Dewan Al-Biruni 1, UCPh Kampus Jengka. Seramai lebih daripada 260 orang pensyarah UCPh dari Kampus Jengka dan Raub telah menyertai taklimat ini. Ucapan aluan telah diberikan oleh Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Nazirah binti Ramli, Timbalan Rektor HEA dan disusuli dengan sesi taklimat berkenaan pelaksanaan Model A.D.A.B. oleh penceramah jemputan iaitu Prof. Dr. Nor Aziah Hj Alias (Penasihat A.D.A.B. UiTM), Dr. Norhapizah Mohd Burhan (Felo Collaborative Group A.D.A.B.), Dr. Rasyad Afif Ibrahim (Ahli Collaborative Group A.D.A.B. UiTM) dan Cik Norzie Diana Baharum (Ahli Collaborative Group A.D.A.B. UiTM). Turut hadir bersama dalam taklimat ini Timbalan Rektor PJI, Timbalan Rektor HEP dan juga Penolong Rektor Kampus Raub. Objektif utama penganjuran taklimat adalah bagi memperkenalkan Model A.D.A.B. dalam PdP kepada semua pensyarah UCPh.

Model A.D.A.B adalah merupakan satu model rekabentuk PdP yang berasaskan prinsip adab. Ia direka khusus untuk para pensyarah dan pendidik menyampaikan dan merangsang minat pelajar bagi menimba ilmu dalam mendepani dunia yang kian mencabar. Model ini selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Model ini telah diluluskan dalam Mesyuarat Senat bilangan 274 pada 07 September 2021. Lantaran itu, Pekeliling Akademik Bilangan 19 Tahun 2022 (Model A.D.A.B. dalam Pengajaran dan Pembelajaran Univeristi Teknologi MARA) telah dikeluarkan pada 08 Disember 2022 yang telah berkuatkuasa mulai 01 November 2021.

Seiring dengan Pelan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang bertujuan untuk meningkatkan pendidikan holistik yang melampaui agama, etnik dan keupayaan individu, Champion A.D.A.B UCPh telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan satu karya untuk memudahkan para pensyarah menerapkan elemen dan nilai adab dalam pengajaran dan pembelajaran. Idea penghasilan warkah ini juga merupakan gabungan idea bersama Dr. Asjad bin Mohamed, Ketua Pusat Pengajian Akademi Pengajian Islam Kontemporari UCPh dan Dr. Norhapizah Mohd Burhan.

Di akhir sesi taklimat ini, BHEA UCPh telah melancarkan “Warkah Buatmu Pelajar” untuk digunakan dalam sesi pengkuliahan yang akan bermula pada semester Oktober 2023. Pelancaran ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Prof. Dr Hajah Nor Aziah Haji Alias. Melalui program taklimat ini diharap dapat memberi penambahbaikan dalam proses PdP pada semester akan datang dan seterusnya dapat menanamkan nilai adab dalam diri pelajar agar ianya selari dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.