Webinar Graduan Om Dan Keusahawanan: Peluang Dan Cabaran

MARAN – Jawatankuasa Pemantapan Akademik dan Pembangunan Pelajar, Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka telah menganjurkan satu program webinar bertajuk Graduan OM dan Keusahawanan: Peluang dan Cabaran baru-baru ini.

Program webinar tersebut telah disertai oleh para pelajar Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat serta alumni. Objektif program ini diadakan ialah untuk menyokong hasrat pentadbir universiti untuk melahirkan bakal graduan yang mempunyai cita-cita tinggi dan unggul serta memliki pengetahuan yang luas dalam bidang keusahawanan, memberi pendedahan kepada bakal graduan tentang realiti cabaran-cabaran yang akan dihadapi dalam proses membina perniagaan sendiri di masa akan datang, membantu bakal graduan bersiap siaga dalam menempuh dunia perniagaan dengan mempelajari kemahiran keusahawanan, membolehkan bakal graduan membaiki komunikasi dengan lebih berkesan dan di samping itu juga dapat mewujudkan kerjasama dan hubungan baik di antara pihak fakulti dan universiti khususnya dengan alumni UiTM.

Kedua-dua panel program tersebut merupakan alumni Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka yang telah berjaya di dalam perniagaan masing-masing. Panel pertama iaitu Encik Mohd Redzwan Shujauddin merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Aurahijab dan panel kedua, Encik Khairin Aiman Hashim merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Mafia Cookiez.

Program tersebut juga bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pendidikan Berkualiti iaitu memastikan kualiti pendidikan yang terangkum dan sama rata, serta meningkatkan peluang pendidikan sepanjang hayat kepada semua.