4th International Malaysia-Indonesia-Thailand Symposium On Innovation And Creativity (iMIT SIC 2021) Melabuhkan Tirai

Buat julung kalinya pelaksanaan program pertandingan inovasi INTERNATIONAL MALAYSIA-INDONESIA-THAILAND SYMPOSIUM ON INNOVATION AND CREATIVITY (iMIT SIC) telah berlangsung secara maya sejak pertama kali diperkenalkan pada tahun 2017.  iMIT SIC telah dipelopori oleh UiTM Cawangan Perlis pada tahun 2017, sebelum diterbangkan ke Riau, Indonesia pada tahun berikutnya. Seterusnya, Thailand telah menjadi tuan rumah iMIT SIC 2019 dimana rektor UiTM Pahang pada Ketika itu, YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham bin Adenan telah mengetuai delegasi UiTM Pahang ke Princess of Naradhiwas University, Narathiwat, Thailand.

Walaupun iMIT SIC 2020 tidak terlaksana kerana dunia dikejutkan dengan pandemik COVID-19, tahun 2021 menyaksikan UiTM Cawangan Pahang sebagai penganjur utama program ini. Siri iMIT SIC kali keempat, 4th INTERNATIONAL MALAYSIA-INDONESIA-THAILAND SYMPOSIUM ON INNOVATION AND CREATIVITY (iMIT SIC 2021) telah melabuhkan tirai pada tanggal 24 Ogos 2021. iMIT SIC 2021 telah membuka penyertaan kepada umum sejak awal Jun lalu. Dengan tema “embracing innovation & creativity in industrial revolutions”, tiga bidang utama iaitu sains teknologi, & kejuruteraan, sains sosial & kemanusiaan, serta pentadbiran perniagaan telah dipertandingkan.

Selama lebih kurang tiga bulan penganjuran, sejumlah 315 penyertaan dari serata Asia Tenggara telah diterima. Selaras dengan matlamat penganjuran program iaitu memperkuat jalinan kerjasama di peringkat antarabangsa khususnya rantau Asia Tenggara, sebanyak 10 rakan strategik yang terdiri daripada institusi-institusi pengajian tinggi dari Malaysia, Indonesia dan Thailand telah turut serta di dalam iMIT SIC siri keempat ini. iMIT SIC 2021 menggariskan strategi serampang tiga mata untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) melibatkan SDG No. 4 iaitu pendidikan berkualiti, SDG No. 9 dengan fokus industri, inovasi, dan infrastruktur, serta matlamat SDG No. 17 yang menjurus kepada kerjasama antara negara.

Hari kemuncak iMIT SIC 2021 iaitu majlis penutup secara maya yang berlangsung pada 24 Ogos 2021 telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham bin Adenan,kini menjalankan tugas rektor UiTM Cawangan Pahang. Sebagai simbolik kepada kerjasama iMIT SIC yang telah terjalin selama hampir 5 tahun, tiga penceramah utama telah didatangkan khas secara maya dari ketiga-tiga negara terlibat. Barisan penceramah yang terlibat adalah Prof Madya Ts. Dr. Noor Azurati Binti Ahmad @ Salleh (Universiti Teknologi Malaysia), Col.Asst.Prof.Sarawut Jindarat, M.D., Ph.D. (Phramongkutklao College of Medicine, Bangkok, Thailand), dan Dr. Evizal Abdul Kadir (Universitas Islam Riau, Indonesia).

Acara kemuncak ini telah berlangsung selama lebih kurang 5 jam dan turut dimeriahkan dengan product pitching session yang menampilkan sebanyak 6 produk terbaik bagi kategori pelajar dan profesional. Selain anugerah emas, perak dan gangsa, iMIT SIC 2021 turut memperkenalkan dua anugerah istimewa iaitu “the most liked video” dan “best of the best award”. Pihak penganjur mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para pemenang dan diharapkan kecemerlangan ini dapat diteruskan pada siri iMIT SIC yang akan datang.