Pelajar semester 5 Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains (Biologi), Fakulti Pendidikan, telah menganjurkan dengan jayanya sebuah Webinar atas talian dengan tajuk “Webinar: Designing Inquiry Science Class” pada 19 November 2021. Sesi ceramah dan aktiviti bengkel tersebut telah dijalankan menerusi platform atas talian Google Meet dan telah disertai oleh lebih 90 orang pelajar pendidikan sains termasuk pelajar dari negara seberang, Indonesia.
Penganjuran webinar ini adalah bertujuan untuk mendedahkan kepada pelajar pendidikan sains yang juga bakal menjadi pendidik berkenaan aktiviti dan kaedah mengendalikan kelas sains inkuiri yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran STEM. Selain itu, bengkel ini bertujuan untuk melatih para bakal guru sains secara amali dan cara fikir yang boleh diaplikasikan sewaktu mengajar kelak supaya kaedah pengajaran dan pembelajaran bersama murid-murid lebih mudah dan berkesan. Penceramah juga sempat berkongsi pengenalan terhadap inkuiri, sejarah disebalik inkuiri, proses yang perlu dijalankan dalam mengendalikan kelas inkuiri termasuk struktur kelas inkuiri yang bagus untuk dijalankan.
Selain itu, penceramah sempat berkongsi secara praktikal untuk mengendalikan kelas sains inkuiri menggunakan contoh subjek fizik, topik gelombang dan berkongsi tentang buku modul praktikum gelombang tersebut. Secara keseluruhan, penceramah telah menyentuh keseluruhan perkara asas dalam mencipta kelas sains inkuiri dan seterusnya telah memberi gambaran awal kepada peserta dengan baik dalam mengendalikan kelas sains inkuiri.
Adalah diharapkan agar sesi webinar ini, pada masa yang sama, dapat meningkatkan profesionalisme para pelajar pendidikan sains dan matematik yang terlibat tentang cara fikir dan cara mengajar subjek sains. Sesi webinar ini telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Dr. Ellianawati, FMIPA Gedung D12, Universitas Negeri Semarang yang juga merupakan seorang pensyarah pendidikan sains dan matematik dari Indonesia. Seramai 99 orang peserta telah menghadiri webinar ini yang juga terdiri daripada pelajar sains fakulti pendidikan sendiri dan beberapa orang pelajar yang terdiri daripada pelajar Universiti Negeri Semarang.