Memorandum Persefahaman (MoU) Dimeterai Antara UiTM Cawangan Sarawak Dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU)

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak telah hadir di sesi pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) Bersama TERAJU yang dianjurkan bersempena dengan Majlis Pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) pada 6 Disember 2021 (Isnin) bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

TPB2030 merupakan hala tuju agenda Bumiputera yang baharu bagi tempoh 10 tahunakan datang. Objektif utama TPB2030 adalah untuk memperkasa ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera bagi memastikan kelestarian dan kesaksamaan antara kaum dapat dicapai selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-112) agar tiada Bumiputera yang tertinggal.

Sebagai rakan kerjasama strategik TERAJU, UiTM Cawangan Sarawak menerima geran berjumlah RM3.5 juta daripada TERAJU bagi melaksanakan Projek Integrasi Udang Galah di Kampung Jaya Bakti Kuching dan di Gedong, Sarawak dalam usaha meningkatkan taraf hidup Bumiputera terutama golongan B40 di masyarakat luar bandar selari dengan Agenda Nasional Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara.

Rektor UiTM Cawangan Sarawak, YBhg. Prof. Dato Dr. Jamil bin Haji Hamali hadir menerima MoU tersebut dan disaksikan oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, YBhg. Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dan YBhg. Datuk Mastura bin Tan Sri Dato’ Mohd Yazid, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas).