Webinar Kembara Cakerawala dan Planetarium Negara untuk Kursus SULAM Fakulti Pendidikan UiTM

Fakulti Pendidikan, UiTM Kampus Puncak Alam – Mahasiswa Semester 2 Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains (Kepujian) Fizik, Jabatan Sains, Fakulti Pendidikan telah menganjurkan dengan jayanya sesi Webinar Kembara Cakerawala dan Planetarium Negara yang berlangsung secara atas talian di YouTube Live pada 20 November 2021.

Penganjuran webinar ini adalah bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan mahasiswa dalam ilmu astronomi. Selain itu ia juga merupakan salah satu projek Fakulti Pendidikan di bawah kursus Service Learning Malaysia University for Society (SULAM) SCE523, Sains Teknologi dan Kemasyarakatan.

Sesi webinar dimulakan dengan slot perkongsian mengenai pengenalan tentang ilmu falak dan peringkat-peringkat ilmu falak oleh Encik Muhammad Faruq bin Muizuddin. Beliau merupakan bekas Pengerusi UiTM Al-Biruni Astronomy Club, UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah. Sesi pengenalan ini dilihat berjaya menarik minat para peserta untuk meneroka dan mengetahui dengan lebih mendalam mengenai ilmu falak serta alam semesta.

Sesi webinar ini diteruskan lagi dengan perkongsian tentang Kalkulator Falak. Encik Muhammad Faruq telah menerangkan dan sekaligus menunjukkan cara menggunakan Kalkulator Falak melalui laman web yang telah disediakan oleh UniSZA. Sesi perkongsian ini dilihat dapat membantu dan memberi panduan kepada para peserta untuk mempraktikkan ilmu penentuan arah kiblat.

Selain itu, webinar ini juga bertujuan untuk membuka peluang kepada mahasiswa agar dapat berunding dengan pihak Planetarium Negara bagi penggunaan Planetarium Negara sebagai medium pengajaran dan pembelajaran tidak formal.

Seramai 133 orang mahasiswa Fakulti Pendidikan telah terlibat menjayakan sesi Webinar Kembara Cakerawala dan Planetarium Negara dan mengikuti aktiviti-aktiviti menarik sepanjang webinar berlangsung. Webinar ini juga telah dihadiri oleh pensyarah-pensyarah Jabatan Sains Fakulti Pendidikan iaitu Puan Zulinda Ayu Zulkipli dan Encik Mohd Mubarrak Mohd Yusof selaku penasihat program dan tenaga pengajar kursus SULAM SCE523.

Sila klik capaian berikut bagi menonton sesi rakaman YouTube Live, Webinar Kembara Cakerawala dan Planetarium Negara: https://youtu.be/5g4sHFCXMu8