Webinar ‘Challenges in Design Education’ Antara Malaysia dan Turki

 

Satu sesi perbincangan antara panel dari Malaysia dan Turki telah berlangsung pada 23 Oktober 2020 melalui webinar ‘Challenges in Design Education’ yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Senibina Dalaman (PPSD), Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU), UiTM. Webinar yang berdurasi selama dua jam ini telah dihadiri oleh 101 peserta dari pelbagai institusi pendidikan rekabentuk. Topik perbincangan adalah mengenai cabaran dalam pendidikan rekabentuk pada masa kini, khususnya dari sudut pandang ahli akademik di Malaysia dan Turki. Pensyarah PPSD, Muhammad Danial Ismail telah menjalankan peranan sebagai moderator bagi sesi perbincangan ini. Webinar ini turut dihadiri oleh Dekan FSPU, Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah.

Panel pertama ialah Assistant Professor Dr. Moira Valeri dari Yeditepe University, Istanbul, Turki. Memperoleh pengalaman mengajar sejak tahun 2013 dan menjadi kurator bersama bagi ‘Ecoweek Istanbul-Contemporary Archeology’, satu simposium antarabangsa yang telah berlangsung pada tahun 2015 di Yeditepe University. Beliau juga telah menguruskan penyelidikan bertajuk ‘Reloaded Factory’ dan merealisasikan pameran bagi hasil penyelidikan tersebut dalam ‘3rd Istanbul Design Biennial’, program rekabentuk berprestij peringkat antarabangsa pada tahun 2016. Dua tahun kemudian, beliau mengambil bahagian dalam ‘4th Istanbul Design Biennial’ sebagai tutor bagi bengkel rekabentuk dan pameran ‘Bosphorus SMLXL’.

Panel kedua, Mohd. Noor Ariffin merupakan Pensyarah Kanan yang diundang khas dari Pusat Pengajian Senibina Dalaman (PPSD), UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam. Mempunyai pengalaman selama lebih daripada 20 tahun dalam bidang pendidikan rekabentuk di UiTM, Mohd. Noor juga merupakan penggiat aktif dalam industri senibina dalaman Malaysia dan rekabentuk perabot di peringkat antarabangsa.  Beliau ialah ‘Managing Director’ bagi Ruang Studio dan juga ‘Principal’ bagi syarikat Ruang Design yang berpusat di Selangor, Malaysia.

PPSD bagi pihak FSPU mengucapkan ribuan penghargaan kepada Assistant Professor Dr. Moira Valeri dan Pensyarah Kanan Mohd. Noor Ariffin di atas perkongsian yang bermanfaat dalam sesi webinar ini. Perkongsian dari dua benua berbeza ini memberi semangat baru kepada ahli akademik bidang rekabentuk dalam melalui cabaran dunia pendidikan di era digital teknologi dan pasca Covid-19 kini.