10.11.2023, Demi memastikan para pelajar mendapat input yang terbaik dalam setiap pembelajaran, kerjasama dari industri adalah sangat digalakkan di peringkat universiti.Ini termasuk menjalankan aktiviti yang melibatkan pengamal industri di luar. Satu webinar asas keusahawanan telah dijalankan pada 27 Mei 2023 bersama pengasas pengeluar snek TEEGA House of Snack, Tuan Faidzal Zaid. Beliau juga merupakan CEO Kreatif Planet Sdn .Bhd. Webinar ini dihadiri oleh pelajar bahagian 4 dari Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik Universiti Teknologi MARA Kampus Jasin, Melaka bagi memenuhi keperluan kursus mereka.
Di dalam webinar ini, banyak input penting dan berguna telah dikongsikan kepada para pelajar. Diantaranya ialah bagaimana ingin memilih perniagaan permulaan. Para pelajar dinasihatkan agar meletakkan sasaran jualan bulanan terlebih dahulu sebagai langkah pertama. Sasaran ini penting agar usahawan jelas arah tuju yang hendak dicapai dalam perniagaannya dan seterusnya mengatur strategi. Sasaran tidak semestinya perlu terlalu tinggi, asalkan ianya boleh dicapai dan terus konsisten mencapai sasaran yang lebih tinggi untuk bulan yang seterusnya.
Langkah kedua adalah menggunakan modal yang ada ditangan sahaja. Contohnya modal duit, modal ilmu, modal tenaga, modal masa, dan modal minat, Modal duit contohnya boleh digunakan dari simpanan sendiri atau pinjaman dari ahli keluarga. Modal ilmu perniagaan yang asas contohnya ilmu kewangan, pemasaran, pentadbiran dan sebagainya. Modal tenaga dan masa iaitu masa dan tenaga yang sanggup dikorbankan oleh usahawan itu sendiri untuk membina perniagaannya. Selain itu, modal minat juga amat penting bagi memastikan usahawan tidak mudah jemu dan berputus asa dalam menghadapi apa jua bentuk cabaran yang mendatang. Langkah ketiga adalah memilih jenis perniagaan yang boleh dicapai pada langkah satu dan dua.
Menurut Tuan Faidzal, pelajar universiti boleh memulakan perniagaan sejak dari peringkat universiti lagi bagi memupuk minat dalam dunia perniagaan. Antara jenis perniagaan yang boleh diceburi oleh pelajar ialah seperti menjadi agen penjual atau “dropship”, dan “affiliate”. Semua jenis perniagaan ini tidak memerlukan peniaga untuk menyimpan stok dan ianya dilihat praktikal dan mudah bagi pelajar yang sibuk dengan jadual kuliah di universiti.
Nota: Tuan.Faidzal Zaid adalah CEO Kreatif Planet Sdn Bhd dan juga aktif sebagai jurulatih keusahawanan. Beliau boleh dihubungi di hi.teega.[at]gmail.com.
Penulis: Norlela binti Abas , Dr. Saida Farhanah binti Sarkam