“Blooming Sustainability with Melati: Nurturing A Greener Future”

Dalam mencapai objektif untuk menjadikan kolej kediaman sebagai Green College yang menyokong Sustainable Development Goals (SDG), Jawatankuasa Perwakilan Kolej, Kolej Kediaman Melati sesi 2023/2024 Uitm Shah Alam telah menganjurkan program Sustainable Melati Series 2: Melati Get Together pada 20 Oktober yang lalu. Program ini diadakan di Dewan Platinum Melati dan telah disertai seramai 687 orang Srikandi Melati.

Selain itu, program yang merupakan anjuran Exco Akademik & Kelestarian Hijau, Cik Fatin Amira Mohd Zaidi bersama penasihat program, Puan Nur Idzhainee Hashim ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran diri pelajar untuk menjadi seorang yang holistik dan mempunyai ilmu pengetahuan mengenai kelestarian alam dan hubungkaitnya dengan mahasiswa. Program ini juga bermatlamat sebagai satu usaha dalam menyokong Hari Kelestarian Sedunia yang jatuh pada hari rabu terakhir setiap bulan Oktober.

Program Melati Series 2: Melati Get Together yang terbahagi kepada 2 sesi ini dimulakan dengan sesi petang iaitu ‘Indoor Planting Workshop’ dimana para peserta diberikan peluang untuk mempelajari cara untuk menanam pokok menggunakan teknik hidroponik malah diberikan peluang untuk membawa pulang tanaman mereka sendiri manakala pada sesi malam pula sebuah forum bertajuk “Blooming Sustainability with Melati: Nurturing a Greener Future” yang menampilkan barisan panel yang terdiri daripada pelbagai latar belakang iaitu Gs. Sr. Ts. Dr. Muhammad Azwan Sulaiman, Koordinator IT, Multimedia dan Penerbitan UiTM Green Centre (UGC), TPr. Annie Syazrin Ismail, Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Perancangan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dan Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Nazir bin Mohammed Khalid, Pensyarah Kanan Universiti Selangor, UNISEL Shah Alam.

Program bagi sesi malam dimulai dengan ucapan perasmian penutup program daripada Pengetua Kolej Melati, Prof. Madya. Dr. Nor Aizam binti Adnan dan diteruskan dengan sesi forum yang amat menarik disampaikan oleh ahli panel yang arif dan profesional dalam membincangkan tajuk yang bertemakan Kelestarian. Program ini diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang Sustainable Melati Series 1 dan juga para pemenang quiz Kahoot yang telah diadakan selepas sesi forum.