Wave Awards Kini Kembali! Hadiah Sejumlah Rm33000!

Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Puncak Perdana, Cawangan Selangor dengan kerjasama Yayasan Hasanah, FINAS, dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menganjurkan WAVE Awards 2021. Acara ini pertama kali diadakan dengan jayanya pada tahun 2019 bersempena Minggu KaryaOne yang dikenali sebagai FiTA WAVE Awards.

Sejumlah RM33,000 dipertaruhkan kepada bakal pemenang pada majlis kemuncak WAVE Awards 2021 yang bakal berlangsung secara gilang gemilang pada 25 Januari 2021 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM. Pendemik Covid-19 tidak menghalang kreativiti malah acara ini menjadi pemangkin anak muda untuk berkarya. Dekan Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Professor Dato, Dr. A Razak Mohaideen menyatakan, sekiranya pandemik masih berterusan, acara kemuncak ini akan berlangsung secara dalam talian.

Soft launch WAVE Awards 2021 pada 22 Oktober 2020, membuka penyertaan kepada seluruh rakya Malaysia, pertandingan Filem Pendek, dan Tarian. Filem Animasi juga diterima sebagai penyertaan untuk pertandingan di bawah kategori Filem Pendek. WAVE Awards 2021, bertemakan Unleashing Creative Wonders mengenengahkan idea dan kreativiti autentik di kalangan pembikin filem dan penari muda berdasarkan lima bidang tumpuan utama iaitu; Pendidikan, Pembangunan komuniti, Alam Sekitar, Seni, Warisan dan Budaya, dan ilmu pengetahuan dalam norma baharu. Tujuan penganjuran acara ini adalah untuk mengangkat peranan dan fungsi filem serta tarian secara lebih luas dan bermakna. Filem dan tarian memiliki sentuhan pesona ke jiwa masyarakat yang mampu membuatkan kita lebih memahami dunia norma baharu.

Simposium Industri Kreatif dan beberapa siri Bengkel Filem, Animasi dan Tarian akan dilaksanakan sepanjang November dan Disember 2020 bersama barisan sarjana, pakar bidang, dan pengamal seni. Antara bengkel yang akan dijalankan adalah kupasan mengenai pengenalan kepada filem pendek, tips untuk meningkatkan kualiti tarian, dan pengenalan kepada lukisan digital dalam animasi. Bengkel-bengkel ini akan berlangsung setiap minggu selama lima minggu mengikut pecahan topik-topik yang berkaitan.

Penerbit bersama WAVE Awards 2021 iaitu Yayasan Hasanah telah melancarkan ArtsFAS (Arts FOR ALL SEASONS). Acara ini bertujuan meletakkan seni dan budaya di bawah kategori utama semasa tempoh kawalan pergerakan, untuk mendorong kesedaran, penghargaan, dan pemeliharaan aset budaya negara Malaysia. Ini memperlihatkan bahawa sektor seni dan budaya adalah tidak bermusim dan oleh itu ia harus diraikan tanpa mengira keadaan dan situasi. Selain itu, ArtsFAS merupakan sebuah inisiatif untuk memupuk kecintaan seni dan budaya di kalangan generasi muda dan menjadikan aset luar biasa ini sebahagian daripada gaya hidup. Ini dilakukan dengan menggabungkan pelbagai kandungan seni melalui teknologi, pengetahuan serta pemuliharaan melalui pengaktifan acara-acara seni. ArtsFAS akan berlangsung dari September hingga Disember 2020 dengan sekurang-kurangnya 1 program seni untuk setiap bulan yang akan ditaja oleh Yayasan Hasanah.

Kerjasama antara pihak Yayasan Khasanah dengan FiTA untuk mempromosikan bakat muda adalah selari dengan objektif ArtsFAS. Bakat yang akan dicungkil ini merangkumi aspek Pendidikan, Pembangunan Masyarakat, Persekitaran, Seni, Warisan dan Budaya, serta Pengetahuan. Penyertaan akan dipamerkan di media sosial rasmi dan juga Saluran TV UiTM untuk mendidik masyarakat, menanam minat untuk menyampaikan pengetahuan, dan memberi kesedaran untuk menjadikan dunia tempat tinggal yang lebih baik pada kehidupan norma baharu.

Diharapkan WAVE Awards 2021 akan memberikan impak besar kepada masyarakat Malaysia di pelbagai peringkat. Hasil karya yang berjaya meraih perhatian dan memenangi pertandingan ini dapat digunakan sebagai mekanisme alternatif dalam mempromosikan kepentingan norma baharu dan memberi inspirasi kepada seluruh masyarakat.

Maklumat tambahan:

1. Untuk soalan tentang penyertaan WAVE Awards 2021, sila hubungi:

Ketua Pengarah Penjurian, Dr. Norman Yusoff di talian 011-61264643 atau hantarkan penyertaan kepada submissions.moewaveawards@gmail.com

2. Untuk sebarang maklumat mengenai Simposium dan Bengkel tarian, sila hubungi:

Simposium – Dr. Ahmad Kamal Basyah di talian 012-6951696

Tarian – En. Muhammad Fairul Azreen di talian 011-28294521

atau

Layari laman sesawang rasmi – www.waveawards.my

Like kami di Facebook – WAVE Awards Malaysia

Follow kami di Instagram – waveawards_my