Pelaksanaan Penilaian Luar Integrated Quality Management System (iQMS) Secara Dalam Talian (Remote Audit)

Shah Alam – Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA), UiTM telah mula melaksanakan Penilaian Luar iQMS secara dalam talian (Remote Audit) bagi Fakulti Perubatan pada 7 – 9 Oktober 2020, Fakulti Pergigian dan UiTM Cawangan Sarawak pada 13 Oktober 2020 dan seterusnya Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan UiTM Cawangan Sabah pada 20 Oktober 2020.  Seramai 4 orang Panel Penilai iQMS yang terlatih telah melaksanakan sesi audit berdasarkan Code of Practices for Institutional Audit (COPIA), ISO 9001:2015 dan Quality Assurance and Enhancement Policy (QAEP) UiTM.  Dengan menggunakan aplikasi Google Meet, mesyuarat dan sesi temubual bersama auditee termasuk pelajar dapat dilaksanakan secara live dari lokasi masing-masing.  Dekan Fakulti, Rektor Kampus serta keseluruhan pengurusan fakulti/kampus yang terlibat telah memberikan kerjasama dan komitmen sepenuhnya dalam memastikan proses audit berjalan lancar.

Dalam menghadapi situasi ketidaktentuan akibat penularan wabak COVID-19, setiap perancangan aktiviti yang telah dibuat perlu diteruskan bagi mengekalkan standard dan kualiti UiTM.  Pelaksanaan audit di lokasi yang dijadualkan pada awal tahun dilaksanakan untuk memastikan Universiti patuh kepada keperluan swa akreditasi universiti dan lawatan audit pematuhan oleh pihak MQA yang akan diadakan pada tahun hadapan.

Pelaksanaan Remote Audit di fakulti dan kampus yang terlibat telah berjalan dengan lancar.  Inisiatif “agile audit plan” yang diperkenalkan oleh YBhg. Prof. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Penolong Naib Canselor InQKA telah banyak membantu auditor dan pihak fakulti/kampus melengkapkan bahan bukti (evidences) dan keperluan lain untuk memenuhi standard yang telah ditetapkan.  Mesyuarat Pembukaan Audit telah dijalankan mengikut jadual dan tempoh penyediaan dokumentasi yang diberi iaitu di antara 7 – 14 hari merupakan pelan yang memberikan ruang yang secukupnya kepada fakulti/kampus untuk menyediakan bahan bukti dan seterusnya melaksanakan Mesyuarat Penutupan Audit.  Virtual tour turut menjadi mekanisma yang menggantikan lawatan tapak secara fizikal.

Memetik kata-kata beliau semasa sesi Taklimat Virtual Audit bersama Panel iQMS pada 13 Oktober 2020 yang lalu, “the only one way to handle uncertainty is to make some things fixed”.   Pelaksanaan Mesyuarat Pembukaan Audit yang mengikut jadual merupakan titik tolak untuk memastikan aktiviti audit terus dijalankan berdasarkan agile audit plan yang telah dirancang.  Ini juga merupakan usaha pihak InQKA untuk memastikan operasi dan aktiviti audit tidak tertangguh dan hasil audit kelak akan membantu menambahbaik pengurusan UiTM secara keseluruhannya.

Di samping mengekalkan standard dan kualiti UiTM, remote audit ini juga menunjukkan keprihatinan pihak Universiti untuk mengekang penularan wabak COVID-19.  Syabas dan tahniah Panel Penilai iQMS UiTM dan fakulti/kampus yang telah bersama-sama menyokong inisiatif dan pengoperasian Penilaian Luar iQMS.