“Waste to Wealth”: Sisa Buangan Dalam Penghasilan Kaca Seramik

Pada tanggal 29 Mei 2023 yang lepas, Fakulti Sains Gunaan UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah telah mengorak langkah untuk mendekati warga Perak melalui saluran Radio Malaysia PerakFM. Sebuah sesi bual bicara secara atas talian telah berjalan menggunakan mekanisma panggilan telefon di antara juruhebah PerakFM, Dj Nasreeq dan juga jurubicara jemputan, pensyarah Fakulti Sains Gunaan iaitu Puan Rabiatul Adawiyah binti Abdul Wahab. Sebuah bual bicara yang bertajuk “Waste to Wealth: Sisa Buangan dalm Penghasilan Kaca Seramik” ini telah berjalan di dalam Slot Prihatin bermula pada 10.15 pagi selama 30 minit.

Program ini telah dikelolai oleh Fakulti Sains Gunaan di mana Dr. Mazleena Mohamed selaku pengarah program dan Dr. Fathiah Abdullah sebagai Ketua Pusat Pengajian, dengan matlamat utama adalah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan warga Perak tentang kebaikan penggunaan bahan terbuang di dalam penghasilan kaca seramik. Malahan, dengan pendekatan ini, pihak fakulti turut berharap dapat melahirkan masyarakat lestari yang mampu menghasilkan produk inovasi di samping dapat membantu masyarakat setempat untuk menjana ekonomi daripada hasil buangan yang telah dikitar semula.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aspek telah dirungkai melalui perbualan diantara Dj Nasreeq dan juga Puan Rabiatul. Antaranya adalah kepentingan menghasilkan kaca seramik daripada bahan terbuang dan juga jenis bahan buangan yang sesuai dikitar semula bagi menghasilkan kaca seramik. Jurubicara turut berkongsi proses ringkas yang dapat diaplikasikan oleh orang ramai untuk menghasilkan kaca seramik secara DIY iaitu “do-it-yourself” menggunakan peralatan yang bersesuaian.

Oleh itu, dengan adanya program bual bicara seperti ini, diharapkan dapat membuka mata semua pihak tentang kegunaan bahan terbuang bukan sahaja dapat dikitar semula untuk mengurangkan kapasiti tapak pelupusan sampah, malahan ia dapat dijadikan sebagai sumber pendapatan sekunder bagi sesebuah isi rumah dalam menghadapi kenaikan kadar inflasi di tahun yang serba mencabar ini.

Penulis: Puan Rabiatul Adawiyah Abdul Wahab, Dr. Siti Mazleena Mohamed, Puan Yanti Yaacob, Encik Mohd Rabani Yaafar dan Dr. Fathiah Abdullah.