Lawatan ke Muzium Penjara Malaysia, Pelajar MC110 Hargai Nilai Kebebasan

MELAKA, 22 JUN – Seramai 25 pelajar MC110 dari Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media, UiTM Melaka Kampus Alor Gajah tidak akan boleh melupakan pengalaman mereka berkunjung ke Muzium Penjara Malaysia yang terletak di Bandar Hilir Melaka, selain menghargai nilai sebuah kebebasan.

Sesi lawatan selama tiga jam di bawah subjek COM158 Teori Komunikasi itu bukan sahaja membuka mata dan minda akan kesan perbuatan salahlaku di dalam masyarakat, malah membantu pelajar membuat refleksi diri akan erti tanggungjawab dan harga diri.

Lawatan ini diketuai oleh pensyarah subjek berkenaan iaitu Puan Siti Hajar Abd Aziz, Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Melaka. Turut serta dalam program lawatan ini ialah dua orang Pensyarah Kanan FKPM, Puan Aini Faezah Ramlan dan Cik Shafezah Abdul Wahab.

Program tersebut bertujuan memberi pendedahan dari aspek sejarah, sosial dan psikologi pemenjaraan dan hukuman kepada pelajar-pelajar komunikasi.

Penerokaan pelajar-pelajar di muzium itu diharap dapat memupuk empati, pemikiran kritis, pemahaman serta keinsafan dalam kalangan mereka.

Dalam sesi lawatan tersebut, pelajar turut kesempatan menonton teater “Rentap” berkisar pergolakan diri dan keluarga banduan akhir wanita yang dilakonkan oleh pegawai-pegawai penjara, selain dihiburkan dengan persembahan tarian dan gerak tangkas oleh Prison Stoppers.

Semoga pengalaman ini mengajar erti syukur selain memupuk sifat suka kepada berbuat kebaikan dalam kalangan semua peserta lawatan.

Galeri Gambar: