Secara tipikal sesebuah negara pada peringkat awal kewujudan pasti yang memerintahnya adalah pemerintah monarki. Malaysia tidak terlepas dari kewujudan malah masih kekal hingga ke hari ini. Era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka telah membuktikan secara absah bahawa sebuah empayar Melayu pernah mencapai kemuncak peradaban sesebuah bangsa. Rakyat pada ketika itu taat dan setia kepada Raja kerana ia adalah satu tunjang kedaulatan baginda dalam memerintah sebuah empayar. Wa’adat atau perjanjian taat setia Seri Teri Buana dengan Demang Lebar Daun sering kali dibincangkan kerana ia adalah asas kepada ketaatan masyarakat Melayu kepada Raja.
Maka sembah Demang Lebar Daun, “Sungguh tuanku seperti khabar orang itu; jikalau tuanku berkehendakkan patik itu, patik sembahkan, lamun mahu duli tuanku berjanji dahulu dengan patik. Maka titah baginda, “Apa janji paman hendak diperjanjikan dengan hamba itu? Katakan oleh paman hamba dengar.” Maka sembah Demang Lebar Daun, “Barang maklum duli tuanku Yang Maha Mulia, jikalau anak patik telah terambil ke bawah duli, jikalau ia kena penyakit seperti patik-patik yang lain, telah maklum ke bawah duli tuanku itu, jikalau ada ampun kurnia duli Yang Maha Mulia, janganlah tuanku keluarkan dari bawah istana tuanku. Biarlah ia menjadi gembala dapur Yang Maha Mulia, dan menyapu sampah di bawah peranugerahan ke bawah duli Yang Maha Mulia, segala hamba Melayu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan jangan ia difadihatkan, dinista yang keji-keji, jikalau patut pada hokum syarak bunuh, tuanku; jangan duli tuanku aibi.”
Maka titah Seri Teri Buana, “Kabullah hamba akan janji paman itu; tetapi hamba pun hendak minta janji juga pada paman.” Maka sembah Demang Lebar Daun, “Janji yang mana itu, patik pohonkan titah dulia Yang Maha Mulia.” Maka titah jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala hamba Melayu itu derhaka dan menitikkan darahnya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera, berundur hingga takluk negerinya juga.’
Maka sembah Demang Lebar Daun , ‘Baiklah tuanku, tetapi jikalau anak cucu duli tuanku dahulu mengubahkan, anak cucu patik berubahlah tuanku.” Maka titah Seri Teri Buana, “Baiklah paman, kabullah hamba akan waad itu. Maka baginda bersumpah-sumpahlah dengan Deman Lebar Daun.
Selain itu, Hang Tuah adalah nama yang tidak asing bagi masyarakat Melayu, malah beliau diangkat menjadi ikon lambang kesetiaan rakyat kepada Raja Pemerintah. Kita sudah sedia maklum bahawa kesetiaan Hang Tuah begitu mutlak dan sanggup mengorbankan nyawanya sendiri jika berkehendak oleh baginda Sultan Melaka. Kisah taat setia seorang tokoh Laksamana Melaka dapat lihat seperti berikut:
Setelah Raja menengar sembah Tun Ratna Diraja demikian itu, maka raja pun terpandang pada Tun Tuah . Maka titah Raja, “Hai Tun Tuah, dari mana engkau datang dan di mana duduk selama ini? Aku pun lupalah akan engkau; sesalku pun tiadalah berguna.” Maka Tun Tuah pun meniarap di bumi dengan ikatnya. Maka sembah Tun Tuah, “Daulat Tuanku Syah Alam, patik ini hamba yang hina mohonkan ampun dan kurnia di bawah Duli Yang Dipertuan akan patik ini, kerana hamba Syah Alam tiada berdosa ke bawah cerpu Duli Syah Alam. Maka hamba Syah Alam pun harap akan ampun Syah Alam kerana Si Tuah tiada mau bertuan lain daripada anak cucu Duli Syah Alam. Tatkala patik di Inderapura beberapa kali Raja Inderapura hendak anugerah nama Laksamana akan patik dan hendak kurnia bininya akan patik; patik tiada mau; mohonkan juga patik, kerana patik Melayu tiada mau demikian, sehingga mati sudahlah. Yang bernama tuan lain daripada anak cucu Syah Alam itu mohonlah patik. Bahawa Si Tuah sekali-kali tiada mau mengubahkan setianya dan katanya.”
Jelaslah di sini, Hang Tuah sendiri telah berpegang teguh bahawa tidak ingin bertuankan selain Sultan Melaka. Taat setia yang dicurahkan telah menjadi asbab bumi Melaka dapat menyelami kegemilangan pada abad ke-15. Ketangkasan dan kearifan Hang Tuah telah menyebabkan bumi Melaka berada dalam kawasan yang aman serta ditafsirkan oleh para pedagang dari Portugis bahawa Melaka sebagai “The Venice of the East”. Hang Tuah juga seorang Laksamana yang amat disayangi oleh Sultan. Buktinya seperti berikut:
Maka dipersembahkan oranglah kepada Raja, “Ya Tuanku Syah Alam, Laksamana sudah datang, ada di kuala.” Setelah Raja menengar sembah orang itu, maka baginda pun terlalu sukacita lalu memberi anugerah akan orang itu, lalu bertitah kepada bendahara, “Ya mamak bendahara, segeralah berlengkap sambut surat dan bingkis itu.”
Setelah sudah dibaca, maka Laksamana dan Hang Jebat , Hang Kasturi pun datang ke hadapan Raja, lalu sujud meniarap pada kaki baginda. Maka Raja pun tunduk mencium kepala Laksamana.
…Setelah keesokan harinya maka baginda pun duduk santap minuman di bendul. Maka titah baginda, “Hai Laksamana, kita rindu sangat akan Laksamana, kerana kita menyuruhkan Laksamana pergi ke Majapahit itu, kemudian kita pun menyesal kerana Patih Kerma Wijaya bercakap hendak bersama-sama pergi dengan Laksamana,” sambil memeluk Laksamana. Maka baginda pun santap minuman sedikit; lebihnya dituangkan oleh Raja ke mulut Laksamana. Maka Laksamana pun menadahkan mulutnya, tangannya memegang kaki baginda. Setelah sudah Laksamana dituang, maka baginda pun melepaskan tangan baginda daripada leher Laksamana itu. Maka sembah Laksamana, “Daulat Tuanku, patik hamba yang hina persembahkan nyawa; apa lagi maksud Duli Yang Dipertuan supaya patik kerjakan sementara ada lagi hayat patik?” Maka titah baginda, “Kita terkenang akan Laksamana tatkala kita murkai dan kita suruh buangkan kepada bendahara itu. Baiknya bendahara orang tua, berikhtiar; jika lain daripada bendahara, entah mati siapa tahu Laksamana? Daripada kita tiada periksa, kerana Laksamana tiada berdosa kepada kita, dengan beberapa pula kebaktian Laksamana pada kita.”
Maka, kesultanan Melayu dahulu amat dititikberatkan tentang konsep ketaatan kepada Raja pemerintah. Ditambah pula agama Islam menjadi pegangan orang-orang Melayu yang menggalakkan umatnya mentaati pemerintah. Kini, kita sudah dipasakkan dengan istilah “Raja dan rakyat berpisah tiada”. Istilah ini sudah sebati dengan hidup masyarakat Malaysia. Walaupun ada sedikit kebobrokan hubungan antara Raja dan rakyat, ia hanyalah sementara dan tidak berlarutan berpanjangan atau membawa kepada perkara yang tidak dingini berlaku. Maka wa,ad yang sudah dilafazkan beratus tahun lamanya, masih kekal hingga ke hari ini. Ia juga sebagai pemangkin kepada kestabilan, pembangunan dan keharmonian negara.
Sumber;
Karya Agung Sulalat al-Salatin, ya’ni Pertuturan Segala Raja-Raja, 2017
Karya Agung Hikayat Hang Tuah, 2008