Volleyball Fun Match 2022 : Santai Bola Tampar Penasihat dan Pelajar

Program “Volleyball Fun Match 2022” anjuran Kelab Bola Tampar UiTM Kampus Raub telah berlangsung pada 23 hingga 27 Mei 2022 bertempat di Gelanggang Bola Tampar UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub. Perlawanan ini telah disertai oleh 8 pasukan yang melibatkan seramai 48 pelajar dan 2 staf selaku penasihat kelab. Penasihat Kelab adalah terdiri daripada 2 orang pensyarah iaitu Puan Nurul Afzan Najid, Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan dan Puan Rozeleenda Abdul Rahman, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik.

Program yang berbentuk santai ini menjadi satu program tradisi Kelab Bola Tampar yang wajib dijalankan pada setiap semester. Objektif perlaksanaan program ini adalah memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk mempelajari permainan bola tampar di samping memupuk semangat kerakanan antara mereka. Melalui program ini juga para pelajar bukan sahaja mendapat faedah dari segi kercergasan fizikal ,malah pelajar turut membina beberapa kemahiran generik, seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran menyelesaikan masalah, membuat keputusan, kepimpinan, pengurusan, interpersonal dan bekerja dalam kumpulan.

Disamping itu juga, program seperti ini telah menyahut Matlamat Pembangunan Mampan atau Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 3 iaitu Kesihatan Baik dan Kesejahteraan. Secara khususnya, terdapat 17 matlamat yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang turut merangkumi kemajuan masyarakat, perlindungan sosial, kesihatan, kemiskinan, pendidikan, peluang pekerjaan, perubahan iklim dan perlindungan alam sekitar.