UiTM, McDonald’s Malaysia Meterai Kerjasama Tingkatkan Kebolehpasaran Graduan Dan Memperkasakan Generasi Anak Bangsa

SHAH ALAM, 10 JUN 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan McDonald’s Malaysia hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) merasmikan kerjasama untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui Program Perantis McDonald’s. YB Senator Dato’ Dr Ahmad Masrizal Muhammad, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi telah merasmikan dan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut yang diadakan di Dewan Anjung Seri Budiman, UiTM Shah Alam hari ini.

Kerjasama itu termeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara UiTM diwakili Naib Canselornya, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor dan YBhg. Profesor Dr. Mohamad Hariri Hj Abdullah, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), UiTM manakala McDonald’s Malaysia diwakili oleh YBhg. Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan dan Encik Hilmy Sulaiman, Pengarah Kanan Undang-Undang dan Francais.

UiTM dan McDonald’s menjalin kerjasama dalam tiga program iaitu Management Apprentice Program (MAP), Graduate Employability Program (GEP) dan Internship Pogram (IP). Program perantis ini khususnya, bermatlamat menyediakan peluang kerjaya untuk para pelajar daripada pelbagai latar belakang, termasuk pelajar B40 dan individu berkeperluan khas. Selain mengukuhkan kebolehpasaran graduan, ia turut menyediakan pelajar dengan peluang kerjaya yang bermakna.

UiTM sebagai institusi pengajian tinggi terbesar di Malaysia sentiasa bekerjasama dan mengambil pendekatan proaktif dengan pihak industri dalam memaksimumkan inisiatif kebolehpasaran graduan. Menurut Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor, “Program Perantis McDonald’s dan UiTM amat selari dengan agenda terkini UiTM bagi memperkukuhkan inisiatif kebolehpasaran graduan agar senada dengan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 Kementerian Pengajian Tinggi, di mana visinya adalah ke arah graduan holistik dan seimbang dengan nilai kebolehpasaran global”.

Untuk menggalakkan kebolehpasaran belia dan graduan, McDonald’s turut menawarkan beberapa program pekerjaan seperti Program Perantisan Vokasional McDonald’s di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), selain MAP, GEP dan IP. Sehingga 2021, McDonald’s Malaysia telah melatih lebih 900 graduan kolej dan universiti di bawah program MAP, GEP dan IP, yang kini sedang bekerja dalam industri hospitaliti.

“McDonald’s Malaysia berhasrat memainkan peranannya sebagai sebuah syarikat terkemuka dengan menyokong dan melancarkan lagi pelaksanaan agenda negara melibatkan pembangunan belia. Tahun ini, McDonald’s terus menumpukan perhatiannya kearah kebolehpasaran belia, dan kami menyasarkan untuk menyediakan 50,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2026. Dengan pertumbuhan perniagaan McDonald’s di negara ini, kami membuka banyak peluang baharu untuk bakat-bakat muda. Kami komited untuk mengembangkan dan membangunkan tenaga kerja kami, memandangkan mereka adalah keutamaan jenama kami,” kata Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.

Menurut Dato’ Azmir, McDonald’s Malaysia berhasrat melaburkan RM300 juta untuk program-program latihan dan pembangunan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dalam ucapannya menyokong penuh inisiatif yang dilaksanakan oleh UiTM dan McDonald’s Malaysia, “Kriteria graduan yang holistik ini amat penting agar graduan yang dilahirkan dapat menepati landskap dan kaedah pekerjaan yang terbaharu agar dapat menjadi graduan profesional yang berkebolehan untuk mengembangkan ilmu, diri, masyarakat dan negara”.

Majlis yang dihadiri kira-kira 300 peserta itu turut diserikan dengan kehadiran 20 anak yatim dari Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari / Rumah Amal Bestari Shah Alam dalam program komuniti ‘Raikan Senyuman’ kerjasama antara UiTM dan Ronald McDonald House Charities (RMHC) yang turut diadakan serentak pada hari ini.