Usahasama KPPIM UiTM Cawangan Pahang dan PPD Maran Atasi Kekhuatiran Generasi ‘Buta’ Matematik

26 September 2023 – Satu perbincangan mengenai Program Kerjasama antara Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM), UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Maran bersama beberapa orang wakil guru matematik dari beberapa sekolah rendah dan sekolah menengah dalam daerah Maran. Turut menyertai perbincangan tersebut adalah PM. Dr. Hjh. Nazirah Ramli, Timbalan Rektor HEA, PM. Dr Nor Azizah M. Yaacob, Penyelaras Strategik dan Transformasi Universiti dan juga Puan Rosmawati Mohd Sham, wakil daripada pihak PPD Maran. Perbincangan ini telah diadakan di Bilik Mesyuarat PJI, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka.

Perbincangan ini telah diadakan bagi mengenal pasti masalah kemerosotan pencapaian matematik di kalangan pelajar sekolah. Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 telah dikeluarkan pada 8 Jun 2023 yang lepas. Berdasarkan kepada keputusan itu, laporan analisis menunjukkan bahawa seramai 89,752 calon daripada 373,974 calon telah gagal dalam subjek Matematik. Hal ini telah mencetuskan kekhuatiran bahawa Malaysia mungkin berdepan dengan generasi tidak celik matematik.

Pihak KPPIM berhasrat agar dapat menginisiatifkan sebuah program ataupun bengkel yang dapat membantu bagi meningkatkan potensi pelajar di sekitar Maran khususnya dalam mata pelajaran Matematik bermula dari peringkat asas.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada seluruh warga pensyarah KPPIM Cawangan Pahang Kampus Jengka yang telah hadir dalam sesi perbincangan ini. Sesi pertemuan perbincangan ini dapat memberi gambaran kasar situasi sebenar pembelajaran matematik di kalangan pelajar sekolah dan KPPIM Cawangan Pahang Kampus Jengka dapat merangka program-program yang bersesuaian.