Universiti Teknologi Mara (UiTM) Wujudkan Perkongsian Strategik Dengan Universiti Ottawa, Kanada

KANADA, 19 OGOS 2022 – Delegasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang diketuai oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor telah mengadakan lawatan rasmi pada 19 Ogos 2022 ke Universiti Ottawa, Kanada yang telah diketuai oleh Jacques Frémont, Presiden Universiti Ottawa. Lawatan rasmi ini diadakan bagi memperkukuhkan jalinan kerjasama dan hubungan dua hala antara UiTM-Universiti Ottawa. Perjumpaan terdahulu antara UiTM-Universiti Ottawa telah terjalin melalui Letter of Intent antara kedua-dua universiti, yang telah dimeterai pada 25 Mei 2022 yang lalu. Kini, hubungan dua hala ini diteruskan antara UiTM-Universiti Ottawa yang diperkukuh dengan Memorandum Persefahaman (MoU).

Hasil kerjasama MoU ini akan menumpukan usaha dalam menyediakan penempatan kakitangan dan pelajar, atau pemindahan program mobiliti. Program ini juga termasuk penceramah/pensyarah jemputan untuk pengajaran kolaboratif, penganjuran bersama pertandingan antarabangsa, penempatan latihan industri antarabangsa,  aktiviti penyelidikan dan penerbitan. Kerjasama ini bakal menyediakan lebih peluang kepada pelajar bagi memperolehi pengalaman dan pendedahan kepada pelbagai aspek budaya, ekonomi, pendidikan, dan ekologi di negara lain. Sekitar April 2022, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengukuhkan kedudukannya dengan pengiktirafan 3 bidang mata pelajaran umum dan empat belas mata pelajaran dalam QS World University Rankings 2022. Kejuruteraan Kimia dilaporkan sebagai salah satu mata pelajaran dengan pencapaian cemerlang untuk reputasi akademik. Dua bidang mata pelajaran lain mengekalkan prestasi di mana Kejuruteraan Petroleum mengekalkan kedudukan mereka pada 101-150 di dunia, manakala Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik mengekalkan kedudukan mereka pada 351-400.

Memandangkan UiTM telah menunjukkan keputusan yang relevan dalam QS World University Rankings, strategi masa depan untuk mengembangkan kekuatan UiTM telah diperhalusi. Menyedari potensi universiti-universiti di Kanada dengan rekod dari QS World University Rankings 2022 yang telah meletakkan 26 universiti terkemuka dari Kanada, potensi kerjasama dalam pelbagai kursus seperti kejuruteraan, telekomunikasi, sains alam sekitar, muzik dan bahasa yang ditawarkan oleh universiti dan kolej Kanada perlu diterokai. UiTM telah melangkah ke hadapan untuk mewujudkan kerjasama dua hala dengan Universiti Ottawa berdasarkan reputasi cemerlang yang terdapat di institusi tersebut dengan kemudahan terkini dan lebih 1,100 makmal pengajaran dan penyelidikan. Kekuatan UiTM dan Universiti Ottawa harus dikongsi dan disebarkan supaya  dapat memberi manfaat kepada kakitangan dan pelajar di kedua-dua institusi.

Terdahulu, Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM, Profesor Dr. Yamin Yasin, Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, dan wakil UiTM telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Kanada pada 18 Ogos 2022. Hadir menerima delegasi itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada, Puan Yang Terutama Datin Paduka Anizan Siti Hajjar Adnin dan kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Dalam lawatan tersebut, Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor dan delegasi UiTM telah membincangkan perancangan dan strategi jangka panjang UiTM dalam memperkenalkan UiTM ke Kanada. Usaha UiTM amat disokong oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Kanada. Langkah itu juga selari dengan agenda pengantarabangsaan UiTM yang telah digariskan dalam Pelan Strategik 2025 UiTM (UiTM2025) ke arah mencapai Universiti Terkenal Global (GRU).