Universiti Teknologi Mara (UiTM) Meterai Memorandum Persefahaman Dengan Tiga Pertubuhan NGO Dalam Kolaborasi Dua Hala Demi Memperkasa Agenda Ummah Di Malaysia Dan Peringkat Global

SHAH ALAM, 25 Julai 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) secara rasmi dengan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO); iaitu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Yayasan Amal Maaruf Malaysia (YAMM). Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman yang dianjurkan oleh Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) telah berlangsung di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UiTM Shah Alam.

Dalam majlis tersebut, pihak UiTM diwakili oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor; dan disaksikan oleh Dekan ACIS, Prof. Madya Dr Afandi Bin Mat Rani. Mewakili YAMM ialah YDP YAMM, Haji Hamsan Bin Omar, dan disaksikan oleh Setiausaha YAMM Haji Ahmad Syahir bin Sarani.

Bagi pihak PERKIM, ia diwakili oleh Setiausaha Agung Kehormat, Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor, dan disaksikan oleh Timbalan Yang Dipertua PERKIM, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abd. Halim. Manakala bagi Delegasi MAPIM pula diwakili oleh Presiden MAPIM, YBrs. Mohd Azmi Abdul Hamid, dan disaksikan oleh Ahli Penasihat Majlis Syura MAPIM, YBrs. Dr Mohamad Fauzi Zakaria.

YAMM merupakan sebuah pertubuhan penggerak dakwah dalam memberi sokongan kepada institusi Islam di Malaysia dan antarabangsa dari segi dakwah, pendidikan, kebajikan. Pelbagai program kerjasama akan dirancang khususnya bagi memperkasa agenda ummah. Kolaborasi dengan pihak lain juga dirancangkan bagi meningkatkan jaringan dan kerjasama kebajikan.

Jalinan persefahaman yang dipersetujui bersama antara UiTM bersama PERKIM dan MAPIM pula menjurus kepada kolaborasi dua hala termasuk usaha dakwah, pendidikan, kebajikan, dan kerjasama strategik demi kepentingan dan kemajuan Islam di Malaysia. PERKIM dan MAPIM dikenali sebagai medium untuk menyelaras dan memudahkan usaha meningkatkan keberkesanan pertubuhan dan aktivis Islam dalam usaha membina masyarakat Islam yang “Khairo Ummah” secara menyeluruh.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor berharap kerjasama ini dapat memberi “Pemindahan ilmu dan penerapan nilai-nilai murni yang berterusan, serta melahirkan para graduan dan mahasiswa profesional yang berkualiti, Seterusnya menyumbang bukan hanya untuk kesejahteraan diri, malah kepada agama, masyarakat dan negara. Ia juga memberi peluang kepada warga akademik untuk menjalani penempatan bersilang dan mobiliti kerjaya bagi mendalami kepakaran, mempertingkatkan keberhasilan dan mencontohi budaya prestasi tinggi antara dua lapangan yang berbeza dari segi teori dan praktikal.”

Kerjasama yang dipersetujui ini akan direalisasikan melalui pelaksanaan pelbagai program, pertukaran staf, penerimaan pelajar untuk satu tempoh pengajian atau penyelidikan, simposium, konferensi, kursus dan bengkel, mesyuarat, dan kerjasama di dalam apa-apa bidang lain seperti mana yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak dari semasa ke semasa.